Pages

Sunday, December 11, 2011

Impian Safee Beraksi Di Eropah.





Penyerang berbisa Negara, Safee Sali.


JIKA Thailand berbangga memiliki penyudah berbisa seperti Teerasil Dangda, Vietnam pula gah dengan Le Cong Vinh dan Bambang Pamungkas yang cukup popular di Indonesia, skuad bola sepak kebangsaan tidak kurang hebatnya.

Ayam tambatan Harimau Malaya, Safee Sali juga wajar diletakkan sebaris dengan penyerang prolifik yang lain apabila dia cukup digeruni pemain lawan di peringkat Asia Tengara.

Menanam tekad untuk beraksi di Eropah, Safee, 27, melahirkan perasaan bangga seandainya mampu menempatkan diri beraksi di pentas antarabangsa yang lebih kompetitif.

“Siapa yang tidak berbangga jika mendapat peluang bermain di sana (Eropah). Namun begitu, saya juga berharap lebih ramai pemain Malaysia mampu mengembangkan karier di peringkat Eropah.

“Ia sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan program pembangunan bola sepak Malaysia,” katanya kepada Fifa.com.

Menganggap beraksi di Liga Super Indonesia sebagai langkah ke hadapan mengembangkan karier, Safee berkata, liga di sana memberikan pengalaman yang cukup berbeza.

“Saya gemar dengan keadaan persekitaran kelab Pelita Jaya dan peminat mereka begitu ghairah dengan sukan bola sepak,” katanya.

Sementara itu, Safee menetapkan sasaran tahun depan mengekalkan kejuaraan Piala AFF Suzuki dan kemudian melayakkan diri dalam kancah Piala Asia 2015 kelak.

“Kami boleh mencapainya, jika kami bekerja keras untuk sasaran dan mempunyai peracangan yang betul,” katanya.

Safee pernah meraih anugerah penjaring gol terbanyak selepas meledak lima jaringan dalam saingan Piala AFF Suzuki 2010 yang lalu dan menjalani ujian latihan selama dua minggu dengan kelab yang berpangkalan di Wales, Cardiff City pada September lalu.

Ditulis oleh : Mohd Fahmi Ismail
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Harimau Malaya

1 comment:

  1. safee kebanggaan Harimau Malaya..Safee The Legend!!!!!

    ReplyDelete