Pages

Tuesday, December 6, 2011

Akmal dan Shahrom Tekad Julang 1 Piala.




Akmal Rizal tekad julang 1 piala untuk Perak.


Penyerang berpengalaman  Perak, Akmal Rizal Ahmad Rakhli bertekad mahu membantu Perak dalam misi memburu satu piala musim depan.  Pemain yang bakal menjangkau usia 31 tahun ini adalah antara penjaring utama Perak musim lepas dengan 13 gol selain Shafiq Jamal dan Mohd Failee Ghazli.

“Saya gembira pihak pengurusan meletakkan sasaran satu piala kerana ia petanda positif yang pasukan inginkan kejayaan dan kami pemain-pemain akan memberikan aksi terbaik untuk memenangi satu piala,” komennya mengenai sasaran tersebut.
“Tahun 2011, saya telah menjaringkan 13 gol untuk Perak, jadi untuk tahun 2012 ini saya mensasarkan 20 gol untuk pasukan,” jawabnya mengenai misi peribadinya untuk musim depan.

Ditanya mengenai kemungkinan kehadiran seorang pemain import di posisi penyerang bakal menggugat tempat beliau dalam kesebelasan utama, Akmal Rizal kelihatan tenang menjawab yang ianya akan memberi saingan sihat antara tiga pemain sediada beserta pemain import tersebut.

Menurut Akmal Rizal, dia amat tertarik dengan aksi tiga pemain import yang sedang diuji pasukannya ketika ini. Pemain yang dimaksudkan adalah pemain tengah dari Korea dan dua penyerang masing-masing dari Lubnan dan Maghribi.

Perak diberitakan masih memburu dua pemain import untuk posisi tengah dan penyerang. Tiga perlawanan persahabatan menentang Kelantan, Angkatan Tentera dan PKNS FC adalah medan ujian untuk 10 pemain import yang dikatakan sedang menjalani pemilihan ketika ini.

Ditanya tentang aksi bersama skuad kebangsaan, Akmal mengakui yang dia masih berharap mendapat panggilan dari jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal.
“Sebagai pemain, saya sentiasa mahu mewakili pasukan kebangsaan,” jawabnya yang kali terakhir bersama skuad kebangsaan dalam aksi Piala Asia tahun 2007.

Sementara itu, pemain pertahanan yang baru dipancing Perak dari Kuala Lumpur, Mohd Shahrom Abdul Kalam, 26, berpendapat penghijrahannya ke Perak adalah untuk mendapat keputusan dan pencapaian yang lebih baik.

Bekas kapten Kuala Lumpur ini bertekad mahu diturunkan sebagai kesebelasan utama musim depan. Dia yang boleh beraksi samada di posisi pertahanan kanan atau tengah ini pernah beraksi bersama skuad kebangsaan menentang Hong Kong pada bulan Jun lalu.

“Suasana di sini diterapkan dengan sifat kekeluargaan dan disiplin yang tinggi. Sudah tentu saya dapat menyesuaikan diri kerana pemain-pemain lain sungguh welcoming (mengalu-alukan kehadirannya),” ceritanya mengenai pasukan baru serta penerimaan rakan-rakan baru terhadapnya.

Skuad Kejor Yob Kejor dijangka akan berangkat ke Medan,Indonesia untuk tiga perlawanan persahabatan di sana dalam minggu kedua bulan ini.

Foto : Dunia Sukan Online
Dipetik dari : Dunia Sukan Online

No comments:

Post a Comment