Pages

Tuesday, December 13, 2011

ATM Ibarat "Manchester City" Malaysia.





Abe Ya.


PUTRAJAYA - Andai kata Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membenarkan 20 pemain beraksi dalam setiap perlawanan, maka orang pertama yang akan menggunakan format tersebut pastinya jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathiananthan.

Memang ia tidak masuk akal tetapi itulah situasi Sathia ketika ini, kerana beliau memiliki 20 pemain terbaik hingga digelar 'Manchester City Malaysia'.

"Pasukan ini sudah bersedia, malah saya bukan sahaja mempunyai kesebelasan terbaik tetapi 20 pemain terbaik yang mampu beraksi dalam masa serentak.

"Ini sesuatu yang bagus menjelang saingan liga," katanya dalam sidang media selepas majlis memperkenalkan pasukan, semalam.

Jelasnya, jika ada pemain yang cedera atau digantung perlawanan beliau mempunyai pemain yang cukup untuk diturunkan bila-bila masa.

"Bagaimanapun saya tetap mementingkan soal kecergasan pemain walaupun mempunyai persefahaman yang tinggi tetapi tanpa tahap kecergasan yang baik ia akan merugikan pasukan ini.

"Pada beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini saya tidak melihat kepada keputusan sebaliknya kecergasan.

"Begitupun saya berjanji kita akan dapat melihat pasukan ATM kali ini adalah yang terbaik dari pelbagai aspek," katanya.

Ditanya sama ada gelaran City Malaysia meletakkan tekanan kepadanya, Sathia menegaskan, sebelum pun pasukan lain juga sudah mempunyai pelbagai jolokan seperti Negeri Sembilan adalah AC Milan dan Pahang - Juventus tetapi ia hanyalah gelaran sahaja.

Sathia juga berdepan satu lagi cabaran apabila ada yang tidak senang dengan kemasukan beberapa pemain bintang yang dianggap sebagai 'anak emas' bagi memantapkan pasukan ATM.

"Biarlah saya mengambil pemain yang saya kenal daripada saya berdepan risiko mengambil pemain yang kurang saya kenali.

"Begitu juga dengan pemain import, saya amat mengenali Bruno Sebastian Martelotto dan Marlon Alex James.

"Perkara ini tidak akan memberi masalah kepada saya dalam latihan dan perlawanan sebenar, mereka juga senang dengan konsep saya, saya pula senang dengan permainan mereka."

ATM memasang misi besar pada musim 2012 dengan sasaran muncul juara liga dan layak ke saingan Liga Super.

Ditulis oleh : Wartawan Utusan
Sumber : Utusan Online - Sukan

No comments:

Post a Comment