Pages

Monday, December 12, 2011

Persiapan Jang Lancar.





Juara Piala Malaysia 2011.


SEBAIK tamat bercuti seminggu, barisan pemain juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan memulakan latihan Rabu lalu dalam usaha mencari rentak terbaik menjelang saingan Liga M 2012, 7 Januari depan.

Kehadiran dua pemain import, Jean Emma Namuel Effa Owona dari Cameroon dan Marquen Seirra dari Brazil merancakkan lagi persiapan skuad Hoben Jang Hoben yang turut diperkuatkan empat tenaga baru tempatan iaitu Mohd Nazrin Nawi, Norismaidham Ismail, Ahmad Shakir Md Ali (gambar) dan Rashid Mamud.

Ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah, mengakui persiapan yang sedang dibuatnya berjalan lancar dengan setiap pemain termasuk dua awang import itu menunjukkan komitmen tinggi serta bersemangat dalam memberikan persembahan terbaik.

Menurutnya, selain meningkatkan tahap kecergasan, tumpuan utama menjurus kepada memupuk persefahaman dan keserasian antara pemain bagi membolehkan kekuatan pasukan mencapai tahap terbaik menjelang sepak mula liga itu nanti.

Beliau bagaimanapun lega dengan perkembangan yang dipamerkan terutama dua pemain import terbabit yang menunjukkan peningkatan memberangsangkan selepas diuji dalam perlawanan persahabatan menentang Maybank, di Bangi, Jumaat lalu.

“Owona yang beraksi di posisi depan berjaya menjaringkan satu gol, manakala Seirra juga memberi tumpuan kepada tugasnya di posisi pertahanan.

“Saya juga turut menguji penyerang muda, Ahmad Shakir untuk bergandingan antara Owona dan Mohd Firdaus Azizul sejauh mana keserasian mereka menerajui barisan depan,” katanya semalam.

Begitupun menurut Azraai, hasratnya untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan tempatan sedikit terbatas berikutan cuaca hujan, yang menyebabkan keadaan padang rosak, malah rancangan bertemu Johor pada 17 Disember ini, juga belum dapat ditetapkan lagi.

Namun begitu, pengendali berpengalaman itu, yakin prestasi anak buahnya akan terus meningkat sebelum aksi pembuka tirai dan akan memanfaatkan sepenuhnya lawatan ke Australia dari 19 hingga 25 Disember ini, untuk mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan bagi menguji gandingan pemain berkenaan.

“Dengan persiapan yang dibuat ini tampak berjalan lancar, saya yakin prestasi pasukan mampu berada pada tahap dikehendaki bagi memulakan perjuangan musim depan,” katanya.

Ditulis oleh : Mohd Amin Jalil
Sumber : myMetro Online - Arena Sukan


No comments:

Post a Comment