Pages

Tuesday, December 6, 2011

Asra Tekad Julang Selangor.




Asrarudin Putra Omar


JIKA diberi pilihan, Asraruddin Putra Omar memilih untuk beraksi sebagai pemain pertahanan tengah. Dia menganggap agak selesa beraksi di posisi tersebut meskipun dia lebih kerap memegang watak sebagai pertahanan kiri.

Itu impian tonggak pertahanan Selangor bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan. Begitupun katanya, ia terpulang kepada percaturan jurulatih baharu Selangor, Irfan Bakti Abu Salim.

Asraruddin yang lebih selesa dipanggil Asra, juga merupakan tonggak skuad Harimau Muda yang kini masih meneruskan perjuangan pada saingan peringkat kumpulan zon Asia pada kempen kelayakan Olimpik 2012.

Menurutnya, Selangor akan tampil serba lengkap bagi menghadapi saingan musim 2012 malah yakin hasrat skuad Merah Kuning itu untuk meraih sekurang-kurangnya satu piala akan dapat direalisasikan.

“Kehadiran jurulatih baharu (Irfan) mampu menyuntik semangat kami lagi pun dia memiliki kelebihan tersendiri. Jika kena gayanya, gelaran treble pun mampu dicapai,” katanya.

Menurut Asra, atas kertas, reputasi Selangor bagi menghadapi saingan musim 2012 memang boleh dikatakan serba lengkap.

“Kami merupakan persatuan terbaik bagi musim 2010. Jurulatih kami pun merupakan pemenang anugerah Jurulatih Terbaik sementara rakan sepasukan, Safiq Rahim dipilih sebagai Pemain Tengah Terbaik pada majlis anugerah bola sepak kebangsaan baru-baru ini,” kata Asra.

Justeru, katanya, reputasi Selangor boleh dikatakan cukup kukuh dan ia harus dibuktikan di atas gelanggang kelak. Tanpa berselindung, Asra yakin kredibiliti Irfan itu mampu mengulangi membawa Selangor ke puncak kejayaan seperti mana yang telah dibuktikannya ketika menjadi jurulatih Terengganu sebelum ini.

“Bagaikan satu pakej yang lengkap, saya dapat merasakan bahawa kami bakal tampil lebih matang bagi mengubati kekecewaan pada saingan musim 2010 yang menyaksikan Selangor menamatkan kempen tanpa sebarang trofi.

“Kehadiran Irfan cukup menggembirakan semua pemain yang sememangnya dahagakan kejayaan.

“Dan saya yakin beliau mampu meneruskan rentak cemerlang bersama Selangor sebagaimana beliau membimbing naib juara Liga Super musim lalu, Terengganu,” katanya kepada Kosmo!.

Asra, bekas pemain Sekolah Sukan Bukit Jalil, memulakan karier antarabangsa ketika mewakili skuad Bawah 19 tahun negara pada Kejohanan Piala Juara Belia 2007 dan selepas itu bakatnya terus bersinar.

Setahun selepas itu dia mendapat tempat dalam skuad Bawah 23 tahun negara ketika menentang Republik Ireland pada Kejohanan Piala Antara Benua 2008.Pada tahun yang sama Asra juga tersenarai dalam skuad Pilihan Malaysia ketika menentang kelab Liga Perdana England, Chelsea dalam satu aksi persahabatan.

Sejak dari situ, Asra sudah tidak menoleh ke belakang lagi malah bakatnya terus bersinar dan kini dia antara watak utama dalam skuad Harimau Muda kendalian Ong Kim Swee.

“Apa yang penting, keutamaan saya kini adalah untuk membantu Selangor meraih kejayaan dalam saingan liga musim depan, selain membantu skuad negara pada kempen kelayakan Olimpik 2012,” katanya.

Ditulis oleh : Ahmad Fazli Mohd Yadi
Sumber : Kosmo! Online - Sukan

No comments:

Post a Comment