Pages

Thursday, December 15, 2011

Al Sadd Ada Strategi Tundukkan Barcelona.





BARCELONA tampil sebagai pasukan pilihan apabila menentang Al Sadd pada aksi
separuh akhir Piala Kelab Dunia di Yokohama hari ini.


YOKOHAMA, Jepun - Juara Asia, Al Sadd ada strategi tersendiri untuk menewaskan juara Eropah, Barcelona pada aksi separuh akhir Piala Kelab Dunia hari ini.

Secara berseloroh, jurulatih Al Sadd, Jorge Fossati berharap Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) meluluskan permohonannya untuk menurunkan 16 pemain pada pertemuan tersebut.

"Saya mempunyai satu strategi," kata pengendali kelahiran Uruguay itu. "Sekiranya mereka (FIFA) meluluskan permohonan saya untuk menurunkan 15 atau 16 pemain di atas padang, saya fikir kami memiliki peluang untuk menang!"

Barcelona yang memburu gelaran ketiga pada Piala Kelab Dunia dalam tempoh tiga tahun, dijangka mudah untuk menewaskan kelab Qatar itu apabila kedua-dua pasukan bertemu di Yokohama, Jepun.

"Barcelona adalah pasukan yang hebat di dunia dan mereka memiliki ramai pemain bintang," kata kapten Al Sadd, Abdulla Koni. "Sekiranya Real Madrid tidak mampu menewaskan Barcelona, bagaimana pula dengan kami?"

Barcelona yang dibimbing Pep Guardiola berlepas ke Jepun sehari selepas berjaya menewaskan Real 3-1 pada aksi Liga Sepanyol di Santiago Bernabeu, Sabtu lalu.

"Kami akan melakukan yang terbaik," tambah Koni. "Kami datang ke sini (Jepun) untuk belajar. Secara realistiknya, peluang kami untuk menewaskan Barcelona hanya 10 peratus."

Terdahulu, Al Sadd mara ke saingan separuh akhir selepas menewaskan wakil Tunisia, Esperance 2-1, sekali gus mengatur pertemuan dengan Barcelona.

Sementara itu, kelab Brazil, Santos FC menepati ramalan apabila mara ke final selepas menewaskan wakil Jepun, Kashiwa Reysol 3-1 pada aksi separuh akhir semalam.

Ditulis oleh : Wartawan Kosmo!
Sumber : Kosmo! Online - Sukan

No comments:

Post a Comment