Pages

Saturday, December 17, 2011

Kelantan, Persebaya FC Berentap.




 TRW bakal bertemu juara Liga Prima Indonesia.

JUARA Liga Super 2011, Kelantan bakal melayan kunjungan juara Liga Prima Indonesia (IPL), Persebaya FC bagi merebut trofi Yayasan Persahabatan Malaysia-Indonesia (Permai) dalam perlawanan pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, pada 23 Disember ini.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Perlawanan, Datuk Ismail Md Nor berkata, perlawanan tersebut diadakan secara timbal balik di mana Kelantan akan menjadi tuan rumah pada perlawanan pertama.

“Perlawanan kedua akan berlangsung di Stadium Gelora, Surabaya pada 28 Disember dan majlis penyampaian hadiah trofi Permai akan diadakan sejurus perlawanan kedua tersebut berakhir.

“Dalam konteks hubu­ngan dua hala di antara kedua-dua negara, saya percaya ianya dapat dipertingkatkan menerusi penganjuran perlawanan ini. “Malah perlawanan ini juga pasti menarik memandangkan bakal menemukan juara liga daripada kedua-dua negara terbabit.

Menurut Ismail, perlawanan ini merupakan anjuran bersama Liga Prima Indonesia (IPL) dengan Malaysia Super League (MSL) dan dipersetujui Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Kelantan sudah pasti tampil dengan barisan ter­kuatnya termasuk empat pemain import, manakala Persebaya FC juga difahamkan mempunyai empat pemain import dari Brazil dan Australia. Selain itu, pemain skuad bawah 23 tahun Indonesia yang memenangi pingat perak dalam Sukan Sea lalu, Andik Vermansyah juga turut mewakili pasukan tersebut,” katanya.

Ismail berkata, tiket bagi menyaksikan perlawanan tersebut ialah RM12 bagi tempat duduk terbuka, RM15 (Astaka Dua), RM25 (Astaka Utama) manakala tiket kanak-kanak berharga RM5 akan mula di jual pada hari perlawanan nanti.

Pertemuan dua pasukan juara ini juga bakal disaksikan berjuta-juta peminat bola sepak di kedua-dua negara memandangkan ia akan disiarkan secara langsung oleh Astro, selaku penaja utama Liga Malaysia musim depan.

Ditulis oleh : Wartawan Sinar Harian
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

1 comment:

  1. gomo parok mat indon tuh..gomo kelate gomo!!?

    ReplyDelete