Pages

Sunday, December 11, 2011

2 Import Tambah Sengat Jengking.





Awang import Johor.


IMPIAN Johor mendapatkan dua awang import berkualiti akhirnya tercapai apabila Esseh Sodjine N Songah dari Togo dan Richard Offiong dari England masing-masing bakal mengukuhkan kekuatan pasukan itu dalam menghadapi saingan Liga Perdana musim depan.

Esseh Sodjine, 21 dan Richard Offiong, 27, mengepalai jentera serangan Jengking selepas pengurusan pasukan berpuas hati terhadap persembahan mereka sepanjang ujian.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Aziz Sapian mengesahkan pengambilan mereka selepas kedua-dua pihak mencapai persetu­juan dalam rundingan yang diadakan.

Menurutnya, PBNJ tertarik dengan kualiti yang dimiliki pemain berkenaan, namun menyerahkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), untuk menentukan sama ada kedua-duanya layak bermain dalam saingan liga tempatan musim 2012.

“Ketika ini, hanya pemain bawah 21 tahun Togo itu mampu menyarung jersi Johor sekiranya FAM meluluskan permit kerjanya.

“Manakala Richard perlu menunggu kelulusan daripada persatuan England sebelum menandatangani kontrak bersama pasukan dari selatan itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Aziz berkata, kedua-dua pemain itu merupakan kelompok terakhir yang diuji pada sesi pemilihan baru-baru ini yang turut disertai awang import dari negara lain. 

Sementara itu, pengendali pasukan Jengking, K Sukumaran berkata, dia percaya anak buahnya mampu dan meletakkan sasaran menduduki dua tempat teratas untuk layak ke Liga Super dan Piala Malaysia.

Menurutnya, bagi mencapai matlamat itu, Johor akan membariskan pemain bertaraf bintang muda seperti K Sasikumar (Harimau Muda A) dan dua awang import yang akan memantapkan bahagian sera­ngan pasukan itu.

Ditulis oleh : Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

No comments:

Post a Comment