Pages

Monday, September 10, 2012

Peminat Mahu Hai-O Kembali Wakili Terengganu.




Hairuddin Omar aka Hai-O.


KEINGINAN ketua pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Hairuddin Omar atau lebih mesra dengan panggilan Hai-O untuk kembali menyarung jersi Terengganu tahun depan disambut baik peminat bola sepak di negeri itu.
   
Beberapa peminat bola sepak Terengganu ketika ditemui Bernama rata-rata melahirkan rasa syukur dan teruja sekiranya pemain berusia 33 tahun yang berasal dari Setiu, Terengganu itu kembali ke pangkuan negeri kelahirannya.
   
Seorang nelayan Ramli Embong, 45, dari Kampung Seberang Takir di sini berkata, kepulangan pemain yang boleh bermain di posisi tengah atau penyerang itu tepat pada masanya ketika pasukan bola sepak Terengganu kini berada dalam keadaan terumbang-ambing.
   
"Kita perlukan pemain seperti Hai-O yang boleh merancang dan sekali gus boleh menjaringkan gol," katanya.
   
Semalam, media melaporkan Hairuddin menyuarakan hasratnya untuk kembali bersama skuad Penyu selepas lebih 10 tahun menyarung jersi beberapa pasukan antaranya Pahang, Negeri Sembilan dan Kelantan.
  
Hairuddin pernah membantu Terengganu menjuarai Piala Malaysia pada 2001, Kelantan pada 2010 dan membantu Negeri Sembilan merangkul piala itu dua kali pada 2009 dan 2011. Seorang lagi peminat, Abdullah Jusoh, 30, seorang pekerja swasta melahirkan keyakinan Terengganu akan kembali mantap sekiranya Hairuddin berada dalam pasukan itu.
   
Beliau berkata, Hairuddin merupakan pemain hebat dan ini dibuktikan ketika Hairuddin menyertai Negeri Sembilan dan Kelantan di mana kedua-dua negeri itu menjuarai Piala Malaysia. Peminat wanita, Maimon Mahmud, 28, juga mengalu-alukan kepulangan Hairuddin dan berkata kepulangan pemain itu dinanti-nantikan peminat Terengganu.
   
"Kita harap pengurusan PBSNT menerima Hairuddin demi untuk mengembalikan maruah bola sepak negeri ini," katanya. - Bernama

Sumber : Sinar Harian

TRW Kempunan Guna Keita & Dadic.




Pemain import Kelantan, Keita Mandjou (kiri), Mijo Dadic (gambar kecil)


Juara Piala FA dan Liga Super, Kelantan terlepas peluang menggunakan khidmat dua pemain import terbarunya, Keita Mandjou dan Mijo Dadic dalam saingan suku akhir Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tidak lama lagi.

Kegagalan tersebut merupakan satu tamparan hebat bagi Kelantan yang terpaksa berhadapan kelab terbaik dari Iraq, Arbil dalam aksi timbal balas pada 18 dan 25 September ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, kegagalan mendapatkan sijil perpindahan antarabangsa (ITC) menjadi punca urusan pendaftaran kedua-dua pemain import tersebut tidak dapat dilakukan oleh pihaknya.

“Peraturan AFC membenarkan pasukan yang layak ke suku akhir boleh membuat pendaftaran baru. Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menetapkan syarat mana-mana pemain yang berpindah kelab perlu membuat pengesahan menerusi Transfer Matching Sistem atau TMS,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

“Bila proses TMS dilaksanakan, barulah ITC boleh dikeluarkan. Peraturan Fifa menetapkan TMS untuk Malaysia dibuka dua kali setahun. Namun tempoh yang dibuka (urusan pendaftaran pemain import) oleh PersatuanBola  Sepak Malaysia (FAM) tidak selari dengan Fifa.

“Kita rujuk peraturan Fifa, ambil Keita (Mandjou) dan Mijo (Dadic) tetapi bila hendak daftar mereka tidak boleh sebab TMS kita sudah ditutup. Ini merupakan satu kerugian besar bagi Kelantan apabila bersaing di peringkat antarabangsa tanpa pemain import yang bagus,” katanya.

Tidak menyalahkan seratus peratus FAM di atas kegagalan tersebut, Annuar bagaimanapun berharap badan induk bola sepak kebangsaan itu dapat menyeragamkan peraturan mereka dengan pihak AFC agar masalah tersebut tidak berulang pada masa akan datang. 

Sumber : Sinar Harian

Thursday, January 12, 2012

Marlon Hilang Seminggu.





Marlon Alex James.


SELEPAS muncul wira pasukan dengan meledak dua gol ketika menentang NS Betaria kelmarin, penyerang import Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Marlon Alex James terpaksa disisih selama seminggu akibat kecederaan.

Pengendali ATM, B Sathianathan bagaimanapun memberitahu tahap kecederaan menimpa pemain berasal dari St Vincent and the Grenadines itu tidak serius namun terpaksa direhatkan pada perlawanan kedua menentang MBJB FC, Jumaat ini.

“Walaupun terpaksa beraksi tanpa kelibat Marlon, saya tetap yakin dengan kemampuan pemain lain seperti Hairuddin Omar, Zaquan Adha dan juga Fitri Omar untuk menerajui pasukan ATM.

“Ketiadaan Marlon sedikit pun tidak menjadi masalah dalam merangka strategi pasukan kerana kami masih lagi mempunyai barisan pemain yang boleh menggantikan tempatnya,” katanya.

Meletakkan Hai-O sebagai penggempur utama, Sathia mahu anak buahnya meningkatkan prestasi berbanding perlawanan pertama Isnin lalu.

Ditulis oleh : Norashikin Leman
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

Ahmad Said Naik Angin.





Ahmad Said ancam saman FAM.


KONTROVERSI 'surat pekeliling' yang melibatkan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum reda. Semalam, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said tampil menyuarakan rasa kesal dan tidak puas hatinya ekoran 'penderitaan' yang dialami pasukan bola sepak Terengganu gara-gara kekeliruan yang timbul dalam surat tersebut.

Dalam nada keras, Ahmad yang juga penyokong No. 1 Terengganu mengemukakan tiga pilihan kepada FAM dengan dua daripada syarat itu ialah meminta badan induk bola sepak negara itu membayar ganti rugi atau membenarkan dua pemain import yang telah ditandatangani Terengganu beraksi dalam Liga Super.

Bagaimanapun, syarat ketiga yang disuarakan Ahmad perlu diambil serius FAM apabila Menteri Besar itu mengancam akan menarik penyertaan Terengganu dan T-Team daripada beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M).

"Saya mewakili kerajaan negeri yang memberi peruntukan kepada pasukan dan kami telah berbincang dengan peguam berkaitan isu ini.

"Kita nak ingatkan FAM, kalau mereka salah, mereka kena akui dan kita boleh terima. Tetapi kita ada tiga pilihan sebab kerajaan negeri yang bertanggungjawab ke atas pasukan Terengganu," tegas Ahmad kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kuala Terengganu semalam.

Jelas Ahmad lagi, tiga pilihan atau syarat itu ialah membenarkan kedua-dua pemain import yang telah didaftar itu bermain dengan Terengganu dalam Liga M serta membayar ganti rugi.

"Situasi paling sukar kemungkinan besar kita akan tarik pasukan Terengganu serta T-Team dan tidak akan bertanding dalam Liga Malaysia," ujarnya lagi. Ahmad yang melihat sendiri surat pekeliling bertarikh 23 Disember itu juga menjelaskan, dia tidak takut untuk digantung demi menjaga maruah bola sepak Terengganu.

Katanya, surat pekeliling itu secara jelas menyatakan yang Terengganu boleh mendaftar pemain import untuk beraksi dalam Liga M sebelum 9 Januari dan tanpa menyebut satupun perkara berkaitan Piala AFC.

"Nak gantung, gantung la...sebab FAM tidak bersikap profesional. Kita main bola untuk suka-suka dengan liga yang kita ada. Tetapi kalau sudah begini, ia memang tidak adil. "Kamu (FAM) beri arahan, lepas itu silap dan kemudian kamu salahkan kami. Itu tidak adil namanya. Kecualilah jika mereka ego.

"Sebab itu pasukan Malaysia tidak berkembang sebab ada pegawai-pegawai yang macam ini yang bermain politik. Kita kata kita profesional tetapi sikap tidak profesional," ujarnya.

Jelas beliau lagi, jika perkara ini tidak diselesaikan dengan cara baik, pihaknya juga sedia mengambil tindakan undang-undang berdasarkan surat pekeliling itu. "Saya nak tengok reaksi selepas kenyataan ini dan apa yang FAM akan buat. Lagipun, kita sudah panjangkan perkara ini ke pihak peguam dan kita ada hak untuk tuntut.

"Kita saman bukan nak dapat kepentingan pun, tapi kerajaan negeri terpaksa tanggung kerugian. Kalau kita nak tunggu pemain import bermain bulan April, buat apa kerajaan negeri nak bayar begitu sahaja," tegasnya lagi.

Sebelum ini, kontroversi membabitkan FAM dan PBSNT bermula apabila Terengganu menandatangani dua pemain import iaitu Francis Forkey Doe dari Liberia dan Erison Da Silva Santos Carnieto dari Brazil berdasarkan surat pekeliling bertarikh 23 Disember yang dikeluarkan FAM kepada negeri itu.

Bagaimanapun, FAM kemudian mengesahkan yang PBSNT tidak boleh menggunakan khidmat pemain import itu pada awal musim ini memandangkan surat pekeliling itu hanya merujuk kepada kempen Piala AFC dan bukannya Liga M.

Sehari kemudian, FAM menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad kemudian telah memohon maaf ekoran kesilapan teknikal, namun tetap bertegas dua pemain import Terengganu itu tidak boleh beraksi dalam Liga M.

Ditulis oleh : Mustapha Lakawa
Sumber : Kosmo! Online - Sukan

Kembalikan Semula Pestabola Merdeka.







KUALA LUMPUR - Kehadiran momentum kejayaan dan minat penyokong serta keyakinan pasukan lawan yang lebih handal terhadap kemampuan Harimau Malaya, sudah membentuk formula yang tepat untuk menyaksikan kepulangan Pestabola Merdeka dalam waktu terdekat ini.

Empat tahun pertandingan jemputan antarabangsa antara tertua Asia itu menyepi dan alangkah baiknya jika ia dihidupkan semula, malah jauh lebih baik daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengatur siri persahabatan yang bersifat 'sekali pakai buang' (one-off).

Dengan Malaysia bakal mengelolakan malah mempertahankan Piala Suzuki AFF dari 24 November hingga 22 Disember ini, kehadiran sebuah pertandingan berdaya saing dengan ganjaran tertentu selain menjadi medan pemanas badannya, memang tidak dapat disangkal lagi kepentingannya.

Senada untuk menyaksikan kembalinya kejohanan yang diilhamkan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra pada 1957 ini ialah Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Antarabangsa persatuan.

"Memulihkan semula Pestabola memang ada dalam perancangan saya kerana ia bukan satu masalah besar dari segi pengelolaannya tetapi kita perlu pastikan kesesuaian masa dan konsepnya sahaja serta sejauh mana sambutan lawan yang diundang.

"Ada baiknya kalau pasukan jemputan itu adalah dari kalangan yang terkuat dari Asia Tenggara mahupun yang memiliki pengikut setia yang mampu memenuhi stadium di sini seperti Thailand dan Indonesia, beberapa negara dari Afrika dan sebuah lagi wakil Eropah.

"Maka, gabungan pasukan kebangsaan lawan ini akan menghasilkan suatu taraf persaingan yang cukup tinggi bagi Pestabola sekali gus mempengaruhi ranking pasukan kebangsaan kita," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Kali terakhir Pestabola Merdeka berlangsung ialah pada 2008 yang menyaksikannya menjadi milik skuad bawah 23 tahun Vietnam yang menewaskan Malaysia menerusi penentuan penalti 6-5 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Tengku Abdullah turut tertarik untuk menyaksikan Pestabola di luar Lembah Klang khususnya di negeri Pantai Timur yang kini dikatakan menjadi kuasa baru bola sepak tempatan selain ekoran sambutan hangat penyokong setia mereka.

Namun katanya: "Sebagai menghargai sokongan itu, kita juga tidak mahu pasukan undangan seperti Jepun atau Korea Selatan hanya menghantar pasukan kedua atau belia mereka kerana menyedari pasukan kita di ranking lebih bawah lalu cuba 'menjual mahal'."

Tegasnya, turut perlu diambil kira dalam mengembalikan Pestabola ialah kepadatan jadual Liga Malaysia (Liga Super, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia) musim ini yang mungkin menyulitkan beberapa pasukan untuk melepaskan bintang handalan mereka ke skuad kebangsaan.

"Faktor keletihan pemain pun mungkin wujud jika tarikh pertandingan Pestabola ini begitu dekat dengan Piala Suzuki AFF kerana ia masih menjadi misi terpenting pasukan kita tahun ini namun jika terlalu sukar, tahun depan mungkin lebih sesuai untuk menganjurkannya," katanya.

Ditulis oleh : Abdul Hafiz Ahmad
Sumber : Utusan Online - Sukan

Awas! Ancaman T-Team.





T-Team FC.


KUALA TERENGGANU - T-Team membuka tirai saingan Liga Super dengan permulaan yang bergaya, menundukkan Kedah 3-0 di sini, kelmarin ketika skuad utama negeri longlai 'dipetehkan' Perak.

Dua gol jaringan Mohd. Faiz Subri serta jaringan terus sepakan sudut ketua pasukan, Zairo Anuar Zalani pada separuh masa pertama melengkapkan kemenangan T-Team.

Ia memberikan tiga mata pertama sebagai pembakar semangat bagi skuad itu untuk melangkah lebih yakin menempuh cabaran musim baru. Faiz bekas pemain pasukan Singa Utara itumemberi nafas segar dengan membuka jaringan bersama pasukan barunya pada minit ke-12.

Kedah di bawah kendalian bekas pemain kebangsaan, Mohd. Nidzam Adzha cuba bangkit dan berjaya membolosi pertahanan pasukan tuan rumah beberapa kali tetapi gagal melakukan penyudahan untuk menyamakan kedudukan.

Jurang dilebarkan apabila Faiz sekali lagi berjaya melepaskan diri dari kawalan pemain Kedah untuk membuat tandukan rendah yang sekali lagi berjaya menewaskan Abdul Hadi.

Empat minit kemudian Zairo menjaringkan gol ketiga pasukannya terus dari sepakan sudut yang diambil olehnya. Faiz hampir berjaya melengkapkan hatriknya dalam perlawanan ini tetapi gagal membuat penyudahan yang tepat dari satu sepakan sudut.

Ditulis oleh : Wartawan Utusan
Sumber : Utusan Online - Sukan

Hilang Rentak Punca N9 Seri.





2 gol jaringan Effa Owona gagal menjamin kemenangan buat pasukan Negeri Sembilan.


SEREMBAN - Gara-gara hilang rentak, skuad Hoben Jang Hoben hanya berkongsi satu mata selepas Selangor berjaya mengikat keputusan seri 2-2 pada perlawanan sulung Liga Super mereka di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin.

Apa tidaknya, pada 45 minit pertama perlawanan, tuan rumah beraksi garang mendahului Red Giants dengan kelebihan dua gol menerusi pemain import Jean-Emmanuel Effa Owona seawal minit keempat sebelum pemain dari Cameroon itu sekali lagi menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-35.

Namun, pada babak kedua permainan, Negeri Sembilan bagaikan hilang punca apabila Selangor melakukan asakan bertubi-tubi sehingga berjaya memperoleh gol pertama hasil rembatan kencang Amirulhadi Zainal pada minit ke-66.

Harapan Negeri Sembilan untuk mengutip tiga mata pertama mereka pada perlawanan sulung liga ini berkecai apabila pasukan lawan dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Safiq Rahim pada minit ke-73.

Menurut ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mohd. Azraai Khor Abdullah yang turut mengakui perkara itu, pada separuh masa pertama pemain bermain cemerlang, namun pada aksi kedua mereka dilihat hilang rentak dan tidak konsisten terutamanya di bahagian tengah.

"Akhirnya kita terpaksa akur berkongsi mata, tetapi saya melihat keputusan ini dari sudut positif dan mengambil iktibar kerana rata-rata pemain Negeri Sembilan adalah baru berbanding Selangor pasukan yang mantap dan berpengalaman," katanya di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohd. Azraai Khor berkata, perlawanan sulung itu memberinya satu 'tugasan baru' untuk mengkaji dalam usaha memperbaiki prestasi kesemua pemain.

"Ini perlawanan pertama, sekurang-kurangnya kita dapat belajar dan memperbetulkan kelemahan. Perjalanan liga masih panjang tidak sampai untuk kita tekan 'panic button'.

"Memang diakui ketiadaan pemain senior seperti Mohd. Shukor Adan dan Idris Karim yang masih dibelenggu kecederaan memberi kesan kepada corak permainan," katanya.

Foto : Dunia Sukan Online
Ditulis oleh : Mohammad Yassir Jaafar
Sumber : Utusan Online - Sukan

Wednesday, January 11, 2012

Felda Selesa Benam Sabah.





Felda United FC.


PASUKAN Felda United menang selesa 2-0 ke atas Sabah pada aksi sulung kedua-dua pasukan di pentas Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput petang semalam.

Bermula dengan rentak perlahan pada awal permainan menyaksikan Felda lebih banyak menguasai barisan tengah manakala lawan turut mengintai ruang menerusi Bobby Gonzales dan import Australia, Michael Baird.

Skuad Borneo menerusi Shahrul Azhar Ture berjaya menggegar jaring Felda pada m-20 namun dibatalkan berikutan berada dalam kedudukan offside.

Sebaliknya tuan rumah berjaya membuka jaringan pertama pada m-26 selepas rembatan awal Farderin Kadir ditepis penjaga gol, Syed Adney Syed Husin lalu menuju ke Mohd Raimi Md Nor untuk mudah menghasilkan jaringan.

Hanya tiga minit selepas itu, Yong Kuong Yong berjaya menanduk masuk gol kedua Felda untuk selesa menamatkan saingan babak pertama perlawanan.

Aksi dua import Sabah dari Australia, Brendan Gan dan Baird dilihat masih belum menyengat namun mereka menunjukkan gaya yang tetap menarik untuk skuad itu berdepan Sarawak selepas ini.

Babak kedua menyaksikan Sabah lebih banyak menguasai perlawanan namun percubaan Brendan pada m-66 sekadar menggegar palang gol Felda United dan percubaan Jufrey Amopor berjaya dipintas pertahanan Felda.

Sekadar melakukan serang balas sambil menahan asakan Sabah, anak buah Elavarasan kental bertahan malah bijak mencuri ruang untuk menambah jaringan, bagaimanapun tandukan pemain gantian Azrul Ahmad melepasi palang gol lawan.

Apapun penguasaan penuh Sabah pada episod kedua selain kecemerlangan Hamsani Ahmad di gawang gagal menghasilkan jaringan buat mereka pulang hampa tanpa mata di Bumi Hang Tuah.

Ditulis oleh : Nazri Abu Bakar
Sumber : myMetro Online - Arena

Matchday 10 January 2012.





Astro Liga Super Malaysia 2012.


KUALA LUMPUR - Juara bertahan, Kelantan mengorak langkah kanan sekali gus menunaikan hajat besarnya dalam persaingan bola sepak Liga Super 2012 dengan menjinakkan pendatang baru, Lions XII 2-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura, semalam.

Wira Merah yang terlepas Piala Sultan Ahmad Shah, Sabtu lalu malah ketinggalan dengan jaringan pendahuluan Baihakki Khaizan pada minit ke-33, tetap gagah meraih tiga mata menerusi jaringan penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohammed Ghaddar (45 dan 79).

Sebaliknya momentum kemenangan di Bukit Jalil, tiga hari lalu pula yang gagal diteruskan oleh juara baru Piala Sultan Ahmad Shah dan Piala Malaysia 2011, Negeri Sembilan apabila diikat Selangor 2-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban.

Sekalipun penyerang importnya dari Cameroon, Jean-Emmanuel Effa Owona cuba meletakkan tuan rumah di depan dua kali pada minit keempat dan 34, Merah Kuning sempat bangkit mengejar dan mencuri satu mata menerusi Amirulhadi Zainal dan Safiq Rahim pada minit ke-66 dan 73.

Namun teraju awal Liga Super lebih pantas disambar oleh T-Team yang membenam Kedah 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu hasil jaringan Mohd. Faiz Subri, minit ke-12 dan 29 serta Zairo Anuar Zalani, minit ke-33.

Sarawak yang baru dinaikkan ke Liga Super musim ini, mengekori di tangga kedua malah berkongsi tempat itu dengan Felda United apabila masing-masing menumpaskan Kuala Lumpur dan Sabah 2-0 di Stadium Negeri, Kuching dan Stadium Hang Jebat, Melaka.

Tandukan Ravindran Krishnan dan sepakan Hairol Mokhtar masing-masing pada minit ke-71 dan 79, menghadiahkan tiga mata Bujang Senang sementara jaringan Mohd. Raimi Mohd. Nor dan Yong Kuong Yong (26 dan 29) memastikan kemenangan buat 'Si Peneroka'.

Mohd. Raimi menyudahkan rembatan awal Farderin Kadir yang muntah daripada tangkapan penjaga gol Sabah sebelum si penjaring pula mencipta ruang buat Kuong Yong menanduk masuk gol kedua tuan rumah.

Di Stadium Perak, Ipoh, sentuhan pemain import turut menjulang Perak hasil jaringan tunggal daripada sepakan kencang kaki kanan Mithal Kubala pada minit ke-75 sejauh 25 meter sekali gus menewaskan juara Piala FA 2011, Terengganu.

Penampilan sulung juara Liga Perdana 2011, PKNS dalam Liga Super musim ini pula ditandai dengan sentuhan kecundang 1-2 kepada pelawat dari selatan semenanjung yang dikendalikan jurulatih baru K. Devan, Johor FC di Stadium Petaling Jaya.

Ditulis oleh : Wartawan Utusan
Sumber : Utusan Online - Sukan

Gergasi Merah Bangkit.





Selangor bangkit dari ketinggalan.


DUA gol ledakan penyerang import Negeri Sembilan Jean-Emmanuel Effa Owona masih belum cukup membantu pasukannya melakar kemenangan apabila Selangor mencipta kebangkitan untuk mencatat keputusan seri 2-2 pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi semalam.

Effa Owona yang menjaringkan dua gol ketika Negeri Sembilan menewaskan Kelantan 2-1 untuk menjulang Piala Sultan Ahmad Shah Sabtu lalu terus menceriakan penyokong Hoben Jang Hoben dengan menanduk masuk gol pertama pada minit ke-4 selepas mendapat lambungan Rashid Mahmud.

Anak buah jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah terus meningkatkan tekanan sehingga membuatkan pertahanan Red Giants, Mohd Nasriq Baharom melakukan kekasaran menjatuhkan pemain sayap kanan, Shahurain Abu Samah dalam kotak penalti.

Sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil perlawanan, Syed Azhar Syed Kamar tenang disempurnakan pemain import dari Cameroon, Effa Owona untuk meletakkan skuad Rusa mendahului 2-0 pada minit ke-34.

Selangor yang dibimbing bekas jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim cuba bangkit mencari gol namun tandukan pemain pertahanan kebangsaan, Mohd Asraruddin Putra Omar sebelum babak pertama tamat tersasar di depan pintu gol.

Bersambung babak kedua, Selangor yang gagal mempertahankan kejuaraan Liga Super musim lalu bagaimanapun bangkit merapatkan kedudukan menerusi rembatan leret Amirulhadi Zainal ke sebelah kanan gawang gol menewaskan Mohd Farizal Marlias di minit ke-67.

Gol itu membakar semangat pasukan pelawat yang terus mengganas dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti Mohd Safiq Rahim pada minit ke-74 selepas Shahurain melanggar pemain gantian Selangor, Solihin Kanasian dalam kotak penalti.

Meskipun Negeri Sembilan dan Selangor berusaha keras memburu gol kemenangan namun keputusan kekal 2-2 sehingga wisel penamat dibunyikan untuk kedua-dua pasukan akur berkongsi satu mata.

Ditulis oleh : Rizar Mohd Noor
Sumber : myMetro Online - Arena

TRW Calar Ego Lions XII.





Kesebelasan utama Kelantan menentang Lions XII semalam.


JARINGAN penalti Muhammad Ghaddar memastikan Kelantan berjaya menjinakkan Singapura Lions XII 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam tadi.

Pembimbing skuad Red Warriors, Peter Butler melakukan rombakan pada perlawanan itu apabila tidak menyenarai pemain importnya, Antwi Agraye manakala Mohd Nor Farhan Muhamad berada di bangku simpanan.

Kelantan yang terpaksa mengambil tempoh agak lama untuk menyesuaikan diri dengan padang rumput tiruan mula mengatur serangan pada minit ke-12 hasil rembatan deras Indra Putra Mahayuddin tetapi ditepis penjaga gol tuan rumah, Izwan Mahbud.

Peluang terbaik Lion XII mencipta jaringan hadir pada minit ke-18 selepas Safuwan Ibrahim bijak melambungkan bola dari luar kotak penalti hampir memerangkap penjaga gol, Mohd Khairul Fahmi Che Mat yang sudah tergamam di gawang sendiri.

Skuad bimbingan V Sundramoorthy yang mendapat sokongan padu lebih 7,000 penyokong yang membanjiri stadium menghadiahkan jaringan pertama pada minit ke-31 selepas pemain pertahanan, Baihakki Khaizan menanduk masuk menewaskan Khairul Fahmi hasil sepakan percuma Shahdan Sulaiman.

Ketika aksi menuju penghujung babak pertama, Norshahrul Idlan Talaha memastikan gol penyamaan apabila merembat kencang hasil bola sepakan lintang Daudsu Jamaluddin.

Tindakan Butler mengeluarkan Nurul Azwan Roya yang agak kurang menyerlah dengan memasukkan Nor Farhan membuahkan hasil apabila bekas pemain T-Team itu bijak melorongkan bola kepada Ghaddar sehingga memaksa Izwan menjatuhkan pemain import dari Lubnan itu dalam kotak penalti pada minit ke-78.

Ghaddar yang masih tercari-cari jaringan pertama bersama Kelantan mudah merembat leret untuk menewaskan Izwan bagi memastikan Kelantan membawa pulang tiga mata.

Ditulis oleh : Rizar Mohd Noor
Sumber : myMetro Online - Arena

Harimau Malaya Jemput Australia.





Perlawanan yang berlangsung di Canberra September tahun lalu.


SKUAD Harimau Malaya tampak tidak serik dengan kekalahan besar 0-5 di tangan Australia Oktober lalu sebaliknya bersedia untuk berdepan sekali lagi pasukan Socceroos itu dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa pada Mei ini.

Setakat ini permohonan rasmi untuk mengadakan pertemuan di Kuala Lumpur sudah dikemukakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan hanya menantikan persetujuan Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA).

Perkara itu disahkan pengurus skuad kebangsaan, Datuk Subahan Kamal yang menyifatkan perlawanan itu bakal menjadi pentas buat anak buah Datuk K Rajagobal mempamerkan potensi sebenar selepas dimalukan pada aksi di Canberra sebelum ini.

“Kami merancang mengadakan perlawanan persahabatan dengan Australia di Malaysia dan surat permohonan sudah dihantar, hanya menunggu jawapan daripada FFA.

“Australia pasukan hebat dan menduduki tangga ke-23 dalam ranking Fifa sedangkan kita, ke-148 namun saya yakin jika kita berpeluang bertemu sekali lagi dan beraksi di laman sendiri, pemain akan menunjukkan kemampuan sebenar dan mendapat keputusan lebih baik,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Selain Australia, FAM turut bercadang mengadakan perlawanan persahabatan dengan Thailand pada April, Singapura (Jun), New Zealand, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar sebagai persiapan rapi dalam memikul misi mencabar mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF pada 24 November hingga 22 Disember ini.

Sebelum ini, Arab Saudi sudah menyatakan kesediaan membiayai kesemua kos Harimau Malaya bagi aksi persahabatan di Melbourne pada 24 Februari selain menentang Filipina di Manila pada 29 Februari.

Ketika ditanya mengenai kesan buruk terhadap ranking negara jika kekalahan berulang kepada Australia selepas ini, Subahan yang juga Naib Presiden FAM berkata, peluang menguji pemain dan pendedahan yang diperoleh lebih penting dalam mempersiapkan pasukan ke Piala Suzuki AFF.

“Pada pendapat saya, soal ranking saya tidak risau sangat kerana ada pasukan yang tidak setanding kita tapi mempunyai ranking lebih baik kerana ia mengikut sistem pengiraan Fifa. Tapi jika kita boleh memperbaiki ranking, itu adalah lebih baik namun saya lebih melihat perlawanan yang diatur ini lebih kepada persiapan.

“Uzbekistan pasukan yang bagus juga dibelasah Australia 6-0 pada separuh akhir Piala Asia tahun lalu. Perlu diingat Rajagobal tidak menurunkan kesemua pemain terbaik dan menguji beberapa pemain baru dalam perlawanan dengan Australia sebelum ini,” katanya.

Ditulis oleh : Aziman Rosdi
Sumber : myMetro Online - Arena

Tuesday, January 10, 2012

Gelanggang Lions XII Dapat "Pra Lulus."





Stadium Jalan Besar, Singapore.


SHAH ALAM - Bukan satu lagi keistimewaan bahkan tidak menyalahi langsung peraturan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) jika Stadium Jalan Besar, Singapura diperiksa lebih lewat berbanding semua gelanggang tempatan yang begitu ketat disyaratkan.

Dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sudah pun meluluskannya bagi melangsungkan Kelayakan Piala Dunia 2014, maka ia sudah dikira memadai buat jawatankuasa ini membenarkan Lions XII melayani Kelantan dalam Liga Super 2012, malam ini tanpa pemeriksaannya terlebih dulu.

Ia 'halal' di mata pengerusi jawatankuasa ini, Datuk Hamidin Mohd. Amin walaupun tegasnya, satu pemeriksaan rutin pihaknya tetap akan dijalankan bersempena sesi kunjungan pegawai kanan FAM bagi mendengar taklimat khas Liga Singapura di republik itu, minggu depan.

"Tiada masalah untuk memeriksa stadium itu lewat sedikit (biarpun selepas Lions XII melayani Kelantan dalam Liga Super, malam ini) dan tidak timbul (soal main dulu, baru periksa) buat pasukan Singapura kerana FIFA sudah mengiktirafnya (stadium yang memiliki padang tiruan itu)," katanya.

Mengenai kunjungan ke seberang Tambak Johor itu, kata Naib Presiden FAM ini, jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee akan turut dibawa sebagai anggota rombongan pegawai kanan persatuan bagi mendengar secara terus taklimat khas Liga S 2012 oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

Taklimat itu mampu menjadi sumber makluman paling tepat dan membantu persediaan awal Kim Swee dan skuad bawah 23 tahun negara yang akan ke Liga S pada hujung bulan depan kerana bertukar dengan Lions XII yang menyertai Liga Malaysia mulai musim 2012 hingga 2015.

"Dalam sehari dua lagi mungkin saya dapat tahu tarikh taklimat khas Liga S itu. Sepatutnya kami ke sana minggu lalu tetapi ramai pegawainya masih bercuti. Kim Swee juga akan menyertai kunjungan ini," katanya pada sidang akhbar pengenalan pasukan Selangor di Padang SUK, semalam.

Ditulis oleh : Abdul Hafiz Ahmad
Sumber : Utusan Online - Sukan

Hukum Kritikan - FAM.





"Jangan Main Api"


TINDAKAN sesetengah persatuan negeri dan kelab menyalahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mungkin mengundang padah dengan tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap mereka.

Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan tindakan terbabit bukannya mahu menghukum namun apabila sudah berada pada satu tahap, ia perlu diambil tindakan.

“Perkara ini sudah menjadi kebiasaan dan perlu dihentikan. Saya menyeru kepada semua pihak jika ada yang membuat kesalahan mereka perlu mengaku untuk kebaikan masa depan dan bukannya menyalahkan FAM apabila timbul masalah.

“Kita bukan saja mengharapkan satu permainan yang bagus di padang namun pengurusan juga perlu lebih cekap dan komited pada zaman ini. Namun perkara ini bukan membabitkan semua persatuan negeri atau kelab, cuma segelintir saja,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kekalutan pendaftaran membabitkan pemain import Terengganu sehingga menimbulkan rasa kurang senang Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh yang menggesa Hamidin memohon maaf.

“Mereka seharusnya memahami dengan jelas dan secara keseluruhan berhubung kandungan surat terbabit termasuk lampiran. “Seandainya masih belum memahaminya, kami (JKPT) sedia untuk memberikan penjelasan sekiranya diminta. “Surat yang dikeluarkan jelas dan tiada sebarang lanjutan tarikh diberikan kepada Terengganu untuk mendaftarkan pemain import.

“Malah Setiausaha PBSNT, Abdullah Salleh adalah ahli JKPT dan sepanjang kami bermesyuarat empat kali sejak November lalu tidak pernah dalam minit mesyuarat ada cadangan atau dibangkitkan mengenai lanjutan tarikh pendaftaran untuk pemain import Terengganu,” katanya.

Tarikh akhir pendaftaran pemain import ditetapkan pada 8 Disember lalu namun Che Mat dilapor membuat kenyataan FAM memberi kelonggaran untuk mereka mendaftarkan pemain import selewat-lewatnya semalam tapi ditolak badan induk bola sepak negara itu kerana tidak wujud sebarang keistimewaan yang diberikan.

Keputusan itu menyebabkan usaha Penyu untuk menggunakan khidmat Francis Forkey Doe (Liberia) dan Erison Da Silva Santos Carnieto (Brazil) tidak kesampaian namun pemain dari Zambia, Mohamadou Sumareh yang didaftarkan awal sebelum 8 Disember sudah mendapat kelulusan tapi pemain terbabit dikatakan sudah pulang ke negara asal.

“Saya menghormatinya sebagai ‘orang lama’ yang juga bekas Naib Presiden dan pengerusi JKPT namun saya kecewa apabila beliau menuduh saya celupar. Saya mahukan permohonan maaf Che Mat,” katanya.

Ditulis oleh : Azlan Muhammad Zain
Sumber : myMetro Online - Arena

Lions XII Laung Amaran.





Lions XII.

SINGAPURA melaungkan amaran mereka kini bersedia memberikan impak dalam Liga Malaysia (Liga-M) apabila membuat penampilan pertama hari ini selepas 18 tahun menyepi.

Singapura yang mempertaruhkan skuad Lions XII kendalian V Sundramoorthy akan melayan kunjungan Kelantan sambil disaksikan ribuan penyokong di Stadium Jalan Besar berikutan semua tiket habis dijual minggu lalu.

“Saya sedar beberapa pasukan memandang rendah keupayaan kami namun saya fikir kami boleh mencipta beberapa kejutan di tempat sendiri,” kata timbalan kapten, Hariss Harun semalam.

Sekembalinya Singapura selepas menjalin kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mencetuskan keghairahan baru arena bola sepak negara itu selepas Liga-S yang disertai 12 pasukan dilanda pelbagai skandal.

Bagaimanapun, segelintir penyokong menyeru agar peminat bola sepak tempatan tidak menyisihkan Liga-S kerana memberi tumpuan kepada Liga-M yang bakal disiarkan secara langsung selain perlawanan popular, Liga Perdana Inggeris.

Singapura meninggalkan Liga-M pada 1994 selepas mereka tidak puas hati dengan pengagihan kutipan tiket. Namun kedua-dua pihak kembali menjalin kerjasama menerusi satu perjanjian tahun lalu.

Badan induk bola sepak antarabangsa, Fifa mendakwa negara kaya Asia Tenggara itu sebagai pusat pertaruhan keputusan perlawanan manakala Liga-S pula dihimpit pelbagai isu rasuah, kewangan dan pergaduhan di dalam padang.

Ditulis oleh : Wartawan Metro
Sumber : myMetro Online - Arena

100 Peratus Anak Tempatan.





MAT ZAN tetap yakin dengan kemampuan Terengganu meskipun terpaksa bermain
tanpa khidmat pemain import musim ini.


LUPAKAN segala kontroversi dan buktikan Terengganu boleh menang tanpa pemain import. Demikian laungan semangat yang dilontarkan jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris kepada barisan pemainnya yang akan turun pada aksi pertama Liga Super menentang Perak di Ipoh malam ini.

Tidak seperti kebanyakan pasukan, naib juara Piala Malaysia itu bakal memburu tiga mata penting tanpa seorang pun tenaga import. Semuanya gara-gara kekeliruan yang timbul melibatkan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sehingga memaksa Terengganu berputih mata untuk memiliki seorang pemain import.

"Saya tidak perlu tertekan dengan kekurangan ini kerana saya sangat mempercayai pemain-pemain yang ada.

"Mereka adalah yang terbaik dan mereka juga telah membuktikan pada tahun lalu apabila menjadi juara Piala FA.

"Jadi, tidak timbul soal kami gentar untuk menentang Perak kerana saya memiliki kumpulan pemain tempatan yang cukup lengkap," jelas Mat Zan yang menggantikan posisi Irfan Bakti yang meletak jawatan tahun lalu.

Mengulas mengenai cabaran anak-anak buahnya di Stadium Perak malam ini, Mat Zan menjelaskan yang beliau sudah memiliki kesebelasan utama terbaik berdasarkan siri perlawanan persahabatan sebelum ini.

"Tidak perlulah saya senaraikan siapa yang patut main kerana semua pemain dalam pasukan ini layak berada dalam kesebelasan utama.

"Kami mempunyai tenaga baharu seperti Muslim Ahmad dan Shukur Jusoh dari Harimau Muda serta Shamsul Kamal yang dibawa dari pasukan T-Team," ujarnya.

Bagaimanapun, Mat Zan sedikit kecewa apabila bintang tengahnya, Ismail Faruqi terpaksa disisihkan dalam kunjungan ke Perak gara-gara kecederaan buku lali.

"Kecederaan itu hanya dialami semalam (kelmarin) dan memang sedih kerana kami kehilangan seorang pemain yang baik untuk perlawanan ini," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Mat Zan yang pernah membawa Terengganu menjulang Piala Malaysia tahun 2001 mahu para pemainnya tidak leka dan sentiasa menghormati kemampuan lawan.

"Daripada apa yang saya dimaklumkan, Perak cukup serius dalam membuat persiapan tahun ini termasuk membawa dua pemain import.

"Jadi, pemain kena waspada kerana kelebihan memang memihak kepada Perak selaku tuan rumah," katanya.

Ditulis oleh : Mustapa Lakwa
Sumber : Kosmo! Online - Sukan

Rantai 'Kaki' Effa Owona.





BARISAN para pemain dan pegawai bergambar pada sesi pengenalan pasukan Selangor FA
bagi musim 2012 di Padang SUK, Shah Alam semalam.


JURULATIH Selangor, Irfan Bakti Abu Salim optimis dengan kemampuan barisan pemain pasukan itu dalam misi mengutip tiga mata penuh pada aksi pembukaan tirai Liga Super menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.

Irfan yang turut menyaksikan perlawanan Piala Sumbangsih antara Negeri Sembilan menentang Kelantan, Sabtu lalu mengakui Selangor sudah bersiap sedia. Bagaimanapun, Irfan tetap berwaspada dengan ancaman Negeri Sembilan yang masih segar dengan kemenangan 2-1 ke atas Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil lalu.

Selain itu katanya, pemain import baharu pasukan Hoben Jang Hoben, Jean Emmanauel Effa Owona yang menjadi wira apabila meledakkan dua gol, sekali gus membantu skuad kendalian Azraai Khor Abdullah menjulang trofi itu buat kali pertama juga wajib dirantai habis-habisan.

Jurulatih berasal dari Perak itu percaya dengan kemampuan barisan pemain dan ramuan terbaik yang dimiliki, mereka mampu melakukan permulaan yang mantap pada saingan liga.

"Sudah tentu Negeri Sembilan kini memiliki semangat yang lebih tinggi selepas kejayaan menundukkan Kelantan pada aksi Piala Sumbangsih baru-baru ini.

"Tetapi harus diingat, benteng pertahanan Kelantan cuba mengawal Effa yang dilihat memiliki fizikal lebih baik dan besar berbanding pemain Kelantan, mudah menyelinap masuk di dalam kotak penalti.

"Namun, kami memiliki tonggak pertahanan import, Ramez Dayoub yang akan sentiasa mengawasi penyerang Cameroon itu daripada berleluasa di dalam kotak penalti kami dan saya yakin kami mampu mengatasi Negeri Sembilan pada perlawanan pertama kami," katanya pada sidang akhbar mengumumkan pengurusan dan pemain Selangor di Padang SUK, Shah Alam semalam.

Sementara itu, keyakinan Irfan turut mendapat respons dari Ramez, yang ingin membalas kepercayaan jurulatih, berazam untuk menyekat Effa daripada 'mengganas' di kubu pertahanan Selangor.

Jelas kapten skuad kebangsaan Lubnan itu, setelah mendapat keserasian bersama rakan-rakan sepasukan, dia yakin dapat melakukan tugas tersebut dengan baik. "Effa merupakan seorang penyerang yang hebat. Saya tidak boleh melakukan (menghalang Effa) seorang diri tetapi saya memerlukan bantuan daripada rakan-rakan sepasukan.

"Saya percaya dengan bantuan daripada rakan-rakan sepasukan, kami yakin untuk menyekat Effa, sekali gus kami berazam untuk mengutip tiga mata penuh yang pertama," ujarnya.

Ditulis oleh : Wartawan Kosmo!
Sumber : Kosmo! Online - Sukan