Pages

Monday, September 10, 2012

TRW Kempunan Guna Keita & Dadic.




Pemain import Kelantan, Keita Mandjou (kiri), Mijo Dadic (gambar kecil)


Juara Piala FA dan Liga Super, Kelantan terlepas peluang menggunakan khidmat dua pemain import terbarunya, Keita Mandjou dan Mijo Dadic dalam saingan suku akhir Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tidak lama lagi.

Kegagalan tersebut merupakan satu tamparan hebat bagi Kelantan yang terpaksa berhadapan kelab terbaik dari Iraq, Arbil dalam aksi timbal balas pada 18 dan 25 September ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, kegagalan mendapatkan sijil perpindahan antarabangsa (ITC) menjadi punca urusan pendaftaran kedua-dua pemain import tersebut tidak dapat dilakukan oleh pihaknya.

“Peraturan AFC membenarkan pasukan yang layak ke suku akhir boleh membuat pendaftaran baru. Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menetapkan syarat mana-mana pemain yang berpindah kelab perlu membuat pengesahan menerusi Transfer Matching Sistem atau TMS,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

“Bila proses TMS dilaksanakan, barulah ITC boleh dikeluarkan. Peraturan Fifa menetapkan TMS untuk Malaysia dibuka dua kali setahun. Namun tempoh yang dibuka (urusan pendaftaran pemain import) oleh PersatuanBola  Sepak Malaysia (FAM) tidak selari dengan Fifa.

“Kita rujuk peraturan Fifa, ambil Keita (Mandjou) dan Mijo (Dadic) tetapi bila hendak daftar mereka tidak boleh sebab TMS kita sudah ditutup. Ini merupakan satu kerugian besar bagi Kelantan apabila bersaing di peringkat antarabangsa tanpa pemain import yang bagus,” katanya.

Tidak menyalahkan seratus peratus FAM di atas kegagalan tersebut, Annuar bagaimanapun berharap badan induk bola sepak kebangsaan itu dapat menyeragamkan peraturan mereka dengan pihak AFC agar masalah tersebut tidak berulang pada masa akan datang. 

Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment