Pages

Thursday, December 29, 2011

Jang Di Landasan Tepat.





Juara Piala Malaysia 2011.


HASRAT juara Piala Malaysia 2011, Negeri Sembilan untuk menjadi pencabar Liga Super musim depan berada dilandasan yang tepat, apabila misi skuad Rusa ke Australia menghasilkan perkembangan positif.

Mencatat keputusan seri 1-1 dalam dua perlawanan persahabatan menentang kelab tempatan, Perth Sc Club dan Armadale Sc Club pada 21 dan 23 Disember yang lalu, skuad kendalian Azraai Khor Abdullah itu dilihat sudah bersedia untuk memulakan saingan sepak mula Liga Malaysia, tahun depan.

“Meskipun hanya mencatat keputusan seri dalam kedua-dua perlawanan persahabatan itu, saya tetap berpuas hati dengan pencapaian dan juga keserasian yang ditunjukkan oleh pemain terutama barisan pemain muda,” katanya yang pulang ke Malaysia, Ahad lalu.

Meletakkan sasaran untuk berada dalam kedudukan lima teratas pasukan dalam saingan musim depan, walaupun tidak mempunyai ramai nama besar seperti musim lalu, Azraai tetap optimis dan bersikap realistik dengan meletakkan harapan kepada pemain muda.

“Ketiadaan nama-nama besar yang banyak memberi sumbangan pada musim lalu mungkin dilihat sebagai satu kehila-ngan yang besar.

“Namun ia turut membantu pembangunan bakat pemain muda dan memberi peluang kepada mereka bersama memantapkan pasukan dalam menghadapi cabaran musin depan,” katanya.

Ditulis oleh : Norashikin Leman
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

Persebaya FC Juara Unity Cup.





Persebaya FC Juara Edisi Pertama.


HASRAT juara Liga Super, Kelantan untuk meraih kejuaraan Piala Unity tidak kesampaian apabila tewas 3-2 kepada Persebaya 1927 pada perlawanan kedua di Surabaya, Indonesia semalam.

Ketika Kelantan seakan bergelut beraksi di depan lebih 50,000 penyokong Persebaya di Stadium Gelora Bung Tomo, skuad tuan rumah lebih mengancam menerusi gerakan penyerang lincah Andik Vermansyah.

Andik yang menjaringkan gol untuk skuad juara Liga Primer Indonesia itu mengikat Kelantan 1-1 pada pertemuan pertama di Kota Bharu ternyata sekali lagi membuktikan ketajamannya dengan menyumbat gol pada minit ke-15 selepas mendapat hantaran lintang Muhammad Taufiq.

Tidak banyak gerakan yang berjaya dicipta kedua-dua pasukan dengan keadaan padang yang teruk, sekali gus menyaksikan Persebaya kekal mendahului 1-0 selepas tamat babak pertama.

Separuh masa kedua bersambung, Kelantan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Pemain Paling Bernilai 2011, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-49 selepas merembat masuk bola lantunan percubaan Mohammed Ghaddar yang terkena tiang.

Bagaimanapun kebangkitan pasukan pelawat kendalian Peter Butler tidak kekal lama apabila Persebaya membolosi gawang yang dikawal penjaga gol nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat sebanyak dua kali menerusi Rendy Irawan di minit ke-64 dan Otavio Putra (m-74).

Biarpun penyerang Indra Putra Mahayuddin menghasilkan gol kedua pada masa kecederaan, segala-galanya sudah terlambat buat Kelantan yang terpaksa akur dengan kekalahan agregat 4-3.

Ditulis oleh : Wartwawan Metro
Sumber myMetro Online - Arena Sukan

Penyu Idam Liga Super.





Terengganu belum pernah menjulang Piala Liga Super semenjak diperkenalkan
pada tahun 2004.


TIDAK pernah merangkul gelaran juara dalam Liga Super sejak mula diperkenalkan pada 2004, naib juara musim lalu, Terengganu kini mengi­dam untuk mengecapi gelaran tersebut sekali gus memecah rekod pencapaian pasukan.

Meskipun tidak terlalu meletakkan harapan tinggi dalam liga teratas Liga Malaysia itu, pengendali skuad Penyu, Mat Zan Mat Aris tetap menjadikan sasaran tersebut sebagai keutamaan dalam merancang strategi untuk musim depan.

“Jika di atas kertas, memang kita mahukan kejuaraan tersebut memandangkan Terengganu masih belum pernah menjulang piala Liga Super, walaupun dua pemain pasu-kan, Abdul Hadi Yahaya dan Mohd Ashaari Shamsuddin berjaya menjulang anugerah Kasut Emas untuk dua tahun berturut-turut.

“Namun begitu, kita tidak mahu menjadikan harapan tersebut hanya angan-angan kosong, sebaliknya akan berusaha lebih kuat untuk memastikan gelaran tersebut menjadi milik Penyu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Melihat banyak perbezaan dalam musim depan berbanding musim lalu, jurulatih berusia 53 tahun itu masih belum menetapkan siapa yang bakal diletakkan dalam kesebelasan utama untuk memulakan misi mencari kejuaraan yang bakal bermula 13 hari lagi.

“Saya sudah ada bayangan pemain yang berkemungkinan akan dimasukkan sebagai pemain utama, namun masih banyak yang perlu diuji memandangkan kesemua pemain menunjukkan komitmen yang sangat baik terutama ketika perlawanan persahabatan yang lalu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, status penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Deo yang berjaya mencipta jaringan hatrik semasa perlawanan persahabatan menentang Perlis Isnin lalu, hanya akan diketahui selepas pertemuan persahabatan menentang Kelantan, Sabtu ini.

“Buat masa ini kita masih belum membuat sebarang kepututsan memandangkan Deo masih lagi dalam tempoh percubaan. Kita akan lihat prestasi sebenar beliau dalam perlawanan menentang The red Warriors nanti,” katanya yang turut belum berpuas hati dengan keserasian anak buahnya.

Ditulis oleh : Norashikin Leman
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

Wednesday, December 28, 2011

FAM Putuskan Tidak Lama Lagi.





Masalah lampu limpah.


KOTA BHARU - Teka-teki sama ada pasukan Kelantan terpaksa beraksi pada sebelah petang dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan mungkin akan terjawab apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka membuat keputusan mengenai perkara tersebut tidak lama lagi.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Azman Ibrahim berkata, segalanya terserah kepada badan induk bola sepak kebangsaan itu yang akan membuat keputusan mengenai perkara tersebut selewat-lewatnya hujung bulan ini.

“Sekiranya masalah lampu limpah itu gagal diatasi, pihak FAM dijangka membuat keputusan dengan perlawanan Sumbangsih (Kelantan bertemu Negeri Sembilan) akan dilangsungkan di Lembah Klang, sementara perlawanan Liga Super bagi Kelantan selaku tuan rumah pula akan berlangsung pada sebelah petang.

“Namun saya menaruh sepenuh kepercayaan kepada pihak Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) meletakkan masalah ini, selaku perkara utama yang perlu diatasi dalam masa terdekat. “Apabila kita terpaksa bermain sebelah petang, kesannya menjejaskan daripada segi sokongan peminat dan prestasi pasukan kita sendiri,” katanya.

Stadium Sultan Muhammad IV antara beberapa gelanggang yang disenaraikan pihak FAM tidak mematuhi peraturan pertandingan bola sepak untuk musim depan, gara-gara tahap pencahayaan lampu limpah yang tidak mencapai had minima 900 lux.

Mengulas mengenai perkembangan terbaru masalah tersebut, Azman berkata, beliau difahamkan oleh pihak perbadanan stadium tahap pencahayaan lampu limpah di stadium berusia 44 tahun itu, sebenarnya mencukupi dan mematuhi sebagaimana yang disyaratkan oleh peraturan pertandingan bola sepak tempatan.

“Sebenarnya tidak perlu dinaiktaraf pun dan kita hanya perlu menyelaras semula suluhan lampu limpah itu.

“Kita ada membawa perunding lampu dari Kuala Lumpur bagi menilai masalah ini. Masalah lampu limpah ini sebenarnya tidak memerlukan kajian yang lebih menyeluruh.

“Ada lebih kurang empat atau lima lampu limpah di setiap penjuru stadium menyala tetapi tidak berfungsi dengan sepenuhnya.

“Kalau perkara ini dapat diatasi, saya percaya masalah lampu limpah stadium kita akan berakhir.

“Kita sudah pemeriksaan dan kita dapati hanya satu tempat sahaja iaitu kawasan tepi padang berhadapan ‘scoreboard’ gagal mencapai tahap pencahayaan minima 900 lux.

“Tahap pencahayaan yang kita ukur tempoh hari hanya sekitar 600 lebih lux. “InsyaAllah, kita berharap masalah ini dapat diatasi sebelum hujung bulan ini,” katanya.

Ditulis oleh : Mazram Idzam Ridzal Mahmud
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

Kritik Secara Profesional - Piya.





Kapten pasukan Kelantan, Muhd Badhri radzi aka Piya.


KAPTEN The Red Warriors, Badri Radzi berharap laporan media negara ini lebih bersikap profesional dan adil seandainya pasukan tewas atau tidak mempamerkan prestasi terbaik dalam sebarang perlawanan Liga Malaysia 2012. Sebaliknya, Badri yang lebih dikenali sebagai Piya berharap pihak media menyampaikan kritikan berunsur nasihat dan tidak mengkritik keterlaluan.

“Sudah menjadi adat setiap perlawanan,­ bila menang sahaja pujian melambung diberikan dan laporan dipaparkan indah belaka. Tetapi, jika pasukan kalah teruk atau beraksi buruk mulalah tulisan berbaur negatif keterlaluan dilemparkan terhadap pemain dan pasukan.

“Pada saya, tidak salah mengkritik pasukan cuma biarlah secara membina kerana kami ada maruah yang perlu dihormati,” katanya kepada Sinar Harian di Kumpulan Media Karangkraf, kelmarin.

Menurut Piya, mereka sudah melakukan yang terbaik ketika beraksi di padang dan berusaha menghiburkan hati penyokong yang hadir memberi sokongan di stadium. Sementara itu, ketika diminta mengu­las sasaran empat piala Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), termasuk memenangi liga tanpa mencatat kekalahan kempen Liga Super, Piya enggan berjanji mengenai perkara berkenaan.

“Sasaran untuk mencipta rekod tanpa kalah saingan liga agak sukar, namun inilah cabaran yang perlu ditempuhi setiap pemain Kelantan.

“Ditambah kemasukan pasukan dari Singapura, Lions X11 pasti menjadikan saingan Liga Super musim depan lebih menarik dan menjanjikan pelbagai kejutan.

“Mengenai Lions X11, kami amat teruja untuk berdepan mereka kerana difahamkan terdapat beberapa pemain kebangsaan Singapura yang berada dalam skuad itu,” katanya.

Piya juga mempunyai matlamat peribadi menjelang saingan musim depan dengan bertekad, mengekalkan gelaran liga dan juga mendakap trofi Piala FA yang masih belum dimenangi sehingga kini. Musim ini, skuad Kelantan dipimpin Peter Butler selepas pengendali terdahulu, Datuk M Karathu mengambil keputusan untuk tidak mengemudi juara Piala Malaysia 2010 itu.

Ditulis oleh : Mohd Fahmi Ismail & Norashikin Leman
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

Tuesday, December 27, 2011

Safee Sudah Ada Pelan Alternatif.





Safee tidak panik.


PENYERANG berbisa Harimau Malaya, Safee Sali tidak mahu cepat melatah di sebalik kemelut yang melanda Liga Super Indonesia (ISL) dan Liga Premier Indonesia (IPL) ketika ini.

Sejak minggu lalu, pelbagai khabar angin yang melanda bekas penyerang Selangor itu yang dilaporkan terdesak untuk mencari majikan baharu ekoran status ISL yang dikatakan tidak diiktiraf oleh Persekutuan Bola Sepak Antarangsa (FIFA). Namun kapten Pelita Jaya ini tetap serius untuk menumpukan fokus bersama kelab yang disertainya itu sejak Februari lalu.

Bagi Safee, masalah pentabdiran Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) - badan yang bertanggungjawab mengendali ISL langsung tidak bermain di fikirannya, sebaliknya dia berharap kemelut itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Sehingga kini, saya masih menghormati kontrak bersama Pelita Jaya yang akan berakhir pada 31 Januari depan.

“Baru-baru ini, pihak Pelita Jaya telah mengemukakan kontrak selama tiga tahun (kepada saya), tetapi saya perlu meneliti tawaran tersebut memandangkan ia (kontrak baharu) agak lama.

“Jika bersesuaian dengan kontrak, saya mahu lagi beraksi untuk mengetuai Pelita Jaya bagi memburu gelaran juara ISL,” katanya pada sidang akhbar di Garden, The Curve Mutiara Damansara petang semalam.

Berhubung kemelut yang melanda PSSI, sekiranya Safee menandatangani kontrak baharu bersama Pelita Jaya, masa depan pemain berusia 28 tahun itu masih terselamat sekalipun FIFA meletakkan status haram terhadap ISL, IPL mahupun PSSI.

Ini kerana Safee masih boleh ‘ditukarkan’ kepada kelab Australia, Brisbane Roar FC atau sebuah kelab Belgium yang dipegang oleh pemilik Pelita Jaya, Bakrie Group yang dimiliki Dermawan Bakrie.

Selain itu, Pelita Jaya juga masih boleh beraksi secara jemputan dalam mana-mana liga yang diiktiraf FIFA di rantau Asia Tenggara jika PSSI diharamkan.

Sementara itu, pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab. Rahim berkata, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan Pelita Jaya bagi membincangkan masa depan peledak berbisa Harimau Malaya itu.

Jelas Zakaria, beliau bersama Safee perlu merujuk kandungan kontrak yang diterima sebelum bersetuju untuk melanjutkan kontrak bersama Pelita Jaya.

Dalam masa yang sama, Zakaria turut membayangkan kepada mana-mana pasukan tempatan yang berhajat untuk ‘merantai’ penyerang kelahiran Kajang itu supaya menawarkan kontrak yang sewajarnya.

Ini kerana menurutnya, meskipun Safee mahu menumpukan karier di luar negara dalam tempoh lima tahun lagi, tidak mustahil pemain itu akan kembali beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) sekiranya mendapat tawaran menarik.

Ditulis oleh : Ahmad Fazli Mohd Yadi
Sumber : Kosmo! Online - Sukan

Selangor Sedia Terima Safee.





Safee Sali bersama Selangor selama 6 musim bermula musim 2006.


Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan." Demikian respons Selangor andai penyerang sensasi Harimau Malaya itu mahu kembali semula ke pangkuan Gergasi Merah bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Masa depan penyerang kelab Pelita Jaya itu kini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pemerhati bola sepak tempatan, lantaran dikhabarkan tidak dibenarkan mewakili skuad kebangsaan jika benar saingan Liga Super Indonesia (ISL) diharamkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Selain dikatakan bakal berpatah balik ke Liga-M, Safee juga dikaitkan dengan penghijrahan ke Liga Belgium dan Liga Australia bagi menyelamatkan kariernya sekiranya isu tersebut gagal diselesaikan oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dalam tempoh terdekat.

Pengendali baharu Selangor, Irfan Bakti Abu Salim memberitahu, sebagai jurulatih, beliau sentiasa mengagumi kelebihan yang dimiliki Safee terutamanya ketajaman penyudah penyerang kelahiran Kajang itu dalam merobek gol lawan.

"Siapa yang tidak berkenan dengan Safee, dia memang seorang pemain yang hebat. "Jika dia mahu kembali beraksi bersama Selangor, sudah tentu saya merupakan individu yang paling gembira menantikan kepulangannya," katanya kepada Kosmo! semalam.

Terdahulu, Safee bersama pengurus peribadinya, Zakaria Abdul Rahim mengadakan sidang akhbar khas mengenai masa depannya bersama Pelita Jaya di Garden, The Curve Mutiara Damansara petang semalam.

Sebelum berhijrah ke Pelita Jaya pada 14 Februari lalu, Safee juga pernah mewakili Kuala Lumpur dan Sarawak sebelum menyarung jersi Selangor selama enam musim bermula 2006.

Begitupun, Irfan Bakti berkata, Safee perlu menunggu 'lampu hijau' sekurang-kurangnya sehingga pintu pendaftaran pemain dibuka semula pada 6 April tahun depan jika benar-benar berhajat kembali semula ke pangkuan Gergasi Merah.

"Pintu pendaftaran pemain sudah pun ditutup baru-baru ini, jadi mahu tidak mahu Safee mungkin terpaksa menunggu lama jika berminat untuk kembali semula bersama Selangor. "Bagi saya, pintu sentiasa terbuka buatnya, apa pun saya menyerahkan perkara itu kepada pihak pengurusan untuk membuat sebarang keputusan," katanya.

Selangor yang akan melayan cabaran pasukan UiTM bagi aksi pra-musim di Shah Alam malam ini ketika ini memiliki jentera serangan yang berwibawa seperti Amirulhadi Zainal, Safiq Rahim dan kapten, Amri Yahyah.

Juara Piala Malaysia sebanyak 32 kali itu juga berjaya mengikat penyerang import baharu dari Congo, Lelo Mbele yang kredibilitinya begitupun sedikit meragukan kerana dikatakan tidak cergas sepenuhnya gara-gara baru pulih daripada pembedahan lutut akibat kecederaan sebelum ini.

Ditulis oleh : Nan Hidayat Nan Azmie
Sumber : Kosmo! Online - Sukan

Subra Yakin 4 Piala.





Subra cuba mengekang asakan Fernando Torres.


BEK kiri kental The Red Warriors, S Subramaniam memberitahu, mereka mahu menang seberapa banyak perlawanan bagi menjamin mengucup gelaran dipertandingkan dalam saingan Liga Malaysia 2012.

“Hanya kemenangan konsisten setiap perlawanan mampu mencerahkan impian kami memburu empat piala pada musim depan. Saya lebih bersikap realistik dan menganggap ia sebagai cabaran buat kami memastikan sasaran itu tercapai,” katanya.

Sambil mengakui cabaran musim depan bertambah sukar, Subra yakin dengan kemampuan rakan sepasukan ditambah dengan bimbingan jurulatih berpengalaman, Peter Butler.

Musim lalu, Kelantan di bawah kendalian Datuk M Karathu membawa pasukannya mendakap Piala Sumbangsih, Liga Super dan muncul naib juara Piala FA.

Ditulis oleh : Mohd Fahmi Ismail
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

Monday, December 26, 2011

Gemilang Bolasepak Malaysia 2011.





Saat paling manis tahun 2011.


SEPANJANG tahun ini, kalender bola sepak negara meriah dengan pelbagai perlawanan sama ada melibatkan perlawanan domestik ataupun peringkat antarabangsa. 

Antara yang masih diperkatakan ialah perlawanan persahabatan menentang tiga kelab elit Liga Perdana Inggeris (EPL) Arsenal, Chelsea dan Liverpool. Walaupun gagal menghasilkan sebarang kemenangan, namun pemain tetap mampu memberikan per sembahan terbaik.

Malah, Liga Malaysia tidak kurang meriahnya, walaupun perjalanan liga musim ini dikuasai pasukan dari Pantai Timur seperti Kelantan (juara Liga Super) dan Terengganu (juara Piala FA). Berikut antara peristiwa penting melibatkan bola sepak di negara ini : 

Layak Ke Pusingan Kedua Sejak 1974

PASUKAN bola sepak Malaysia pimpinan Datuk K Rajagobal melakar sejarah, apabila membawa pemainnya melangkah ke pusingan kedua Piala Dunia 2014 sejak menyertai kejohanan itu pada pusingan kelayakan 1974 di Jerman. Namun begitu, langkah garang skuad bergelar Harimau Malaya terhenti, selepas kalah 6-4 secara agregat kepada Singapura, Julai lalu.

Skuad Olimpik Tamat Badi 39 Tahun

BADI 39 tahun gagal mara ke pusingan ketiga kelayakan Olimpik terlerai, apabila anak didik Ong Kim Swee berjaya mengatasi cabaran Pakistan dan Lebanon dalam aksi terdahulu. Kini, mereka bersaing merebut slot kedua Kumpulan C untuk layak ke London 2012, walaupun setakat ini telah tumpas tiga perlawanan berturut-turut.

Kekal Ibu Segala Emas

SKUAD bimbingan Ong Kim Swee mempamerkan aksi membanggakan Malaysia apabila mempertahankan ‘ibu pingat emas’ apabila menewaskan tuan rumah Indonesia menerusi penentuan penalti 4-3 selepas terikat 1-1 pada perlawanan sepenuh masa penuh dramatik di Stadium Gelora Bung Karno. Kejayaan Harimau Muda itu, melengkapkan pingat emas ke-59 kontinjen negara di Sukan Sea ke-26.

Piala Malaysia Milik Negeri Sembilan

PIALA Malaysia akhirnya kembali ke Negeri Sembilan buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun, apabila kebangkitan pada 10 minit terakhir oleh anak-anak buah Mohd Azraai Khor Abdullah berjaya membenam Terengganu 2-1 dalam pentas akhir di Stadium Shah Alam, Oktober lalu.

Di hadapan 70,000 penonton, penyerang veteran, Hairuddin Omar atau ‘Hai-O’ membuktikan dia membawa tuah kepada Negeri Sembilan apabila jaringannya pada minit ke-86 memastikan Terengganu pulang hampa, walaupun skuad Penyu berkelebihan satu gol menerusi Mohd Ashaari Samsudin (minit ke-59).

Kelantan Julang Piala Liga Super

PASUKAN Kelantan dibawah kendalian Datuk M Karathu muncul juara Liga Super musim ini. Malah lebih manis, The Red Warriors bakal beraksi pada kejohanan Piala konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Mac depan.

Terengganu Julang Piala FA

SKUAD Terengganu akhirnya menamatkan kemarau 10 tahun Piala FA, selepas menumpaskan jiran tetannga Kelantan pada aksi final di stadium Nasional Bukit Jalil, Jun lalu. Walaupun ketinggalan, skuad Penyu yang ketika itu dibimbing Irfan Bakti Abu Salim berjaya melakukan kebangkitan untuk menumpaskan Kelantan 2-1.

Ditulis oleh : Wartawan Sinar Harian
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

Wednesday, December 21, 2011

Lions XII Uji Tiga Pasukan.




Singapore Lions XII.

PASUKAN Lions XII dari Singapura akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang tiga pasukan Liga Malaysia menjelang liga itu musim depan.

Pasukan yang akan bermain dalam Liga Super itu bakal menguji skuad Liga Perdana Johor, Selangor PKNS yang akan bermain dalam Liga Super dan sebuah lagi pasukan Liga Perdana Angkatan Tentera Malaysia yang akan turut menggunakan khidmat pemain import.

Penyertaan Lions XII dalam Liga M adalah bagi tempoh 2012-2015 sebagai pertukaran dengan pasukan Harimau Muda A yang akan bermain dalam Liga Singapura musim depan.

Pasukan itu dikendalikan ketua jurulatih V Sundramoorthy yang pernah bermain di Malaysia sekitar era 90-an. "Ini akan menjadi ujian yang baik bagi pasukan kami selepas berlatih hanya dua minggu," katanya yang dipetik laman web Persekutuan Bola Sepak Asean.

Lions XII yang juga dikenali sebagai pasukan Bawah 23 Tahun Singapura diketuai Shahril Ishak, Hariss Harun (tengah), Agu Casmir (penyerang), Baihakki Khaizan (pertahanan) bersama pemain muda seperti Izwan Mahbub (penjaga gol), Shakir Hamzah (pertahanan) dan Khairul Nizam (penyerang).

Ditulis oleh : Bernama
Sumber : myMetro Online - Arena Sukan

Import Rencat Kebangkitan Bola Kita...???




Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu Liga Malaysia terus melahirkan pemain hebat pada saingan musim 2012 walaupun dengan kehadiran semula tenaga import.

Selama tiga musim iaitu 2009, 2010 dan 2011 skuad kebangsaan meraih kejayaan peringkat Asia Tenggara ketika saingan liga tempatan tidak menggunakan khidmat pemain luar.

Persoalannya apakah kehadiran pemain import akan merencatkan kebangkitan skuad bola sepak kebangsaan? Mengulas persoalan tersebut, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berharap fenomena kebangkitan skuad kebangsaan seperti mana sepanjang ketiadaan pemain import tiga musim lalu akan berterusan.

“Saya akui kita berjaya melahirkan pemain hebat sepanjang tiga tahun ketiadaan pemain import kerana semua pasukan menggunakan tenaga tempatan. “Namun sama ada pemain tempatan akan meningkat atau tidak (ekoran kehadiran pemain import) ia hanya dapat dinilai setelah saingan musim 2012 berakhir,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sejak menghentikan khidmat pemain import mulai 2009, pada tahun tersebut skuad negara memenangi pingat emas Sukan SEA buat pertama kali selepas 20 tahun di Laos.

Kegemilangan bola sepak negara berterusan tahun lalu dengan kejayaan lebih besar apabila memenangi Piala Suzuki AFF. Terbaru, skuad muda negara yang dibimbing Ong Kim Swee mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Jakarta.

Azzuddin percaya semua pasukan cukup matang dalam membuat keputusan mengenai kekerapan pemain tempatan untuk digunakan dalam setiap perlawanan tanpa mengira posisi. “Setiap pasukan harus memberi peluang sebaik mungkin kepada pemain tempatan untuk beraksi dalam kesebelasan utama. Mereka memerlukan banyak pendedahan.

“Ia bukan sahaja pada posisi serangan tetapi posisi lain. Berdasarkan pendaftaran pemain untuk musim 2012, kebanyakan pasukan menggunakan seorang pemain import bagi posisi serangan, tengah dan pertahanan.”

“Pemain tempatan tidak harus tercicir dalam saingan musim depan. Setiap pasukan harus mengekalkan prestasi cemerlang pemain tempatan untuk kebaikan pasukan kebangsaan,” katanya.

Ditulis oleh : Ferzalfie Fauzi
Sumber : Utusan Online - Sukan

Hanya 5 Stadium Lulus Syarat.





SSMIV antara 3 stadium yang tidak menepati syarat LUX lampu limpah.


TIGA minggu menjelang sepak mula saingan Liga Malaysia (Liga M) 2012, hanya lima buah stadium sudah lulus syarat kecerahan lampu limpah untuk mengadakan perlawanan pada sebelah malam. 

Lima stadium itu ialah Stadium Nasional, Bukit Jalil; Stadium USM, Pulau Pinang; Stadium Utama Negeri, Kangar; Stadium Darul Aman, Alor Setar dan Stadium Temerloh, Pahang.

Selebihnya masih belum lulus ujian pencerahan lampu limpah minimum 800 lux ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) termasuk Stadium Sultan Muhamad IV, Kota Bharu; Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu; Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dan Stadium Perak, Ipoh. 

Penolong Setiausaha Agung FAM, Ahmad Fuad Daud yang juga Ketua Jabatan Pertandingan Tempatan berkata, pihaknya akan melakukan pemeriksaan lampu limpah stadium-stadium terbabit, esok bagi mengemaskini jumlah stadium yang melepasi syarat terbabit. 

“Buat masa ini, memang baru lima stadium sudah lulus. Tapi semua stadium lain sedang bertungkus lumus melakukan kerja-kerja memperbaiki atau menukar lampu limpah mereka kerana saya difahamkan, tiada satu pun stadium yang mahu aksi sebelah petang. 

“Selepas pemeriksaan pada Khamis (esok), jika terdapat stadium yang masih gagal ujian kecerahan itu, kita beri mereka peluang terakhir untuk melepasi syarat terbabit paling lewat, tujuh hari sebelum aksi pertama liga,” kata Ahmad Fuad ketika dihubungi, semalam. 

Namun menurut Ahmad Fuad, tiga buah stadium tidak dapat digunakan pada awal saingan liga musim ini disebabkan kerja-kerja baik pulih padang iaitu Stadium Shah Alam, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. 

“Sehinggalah kerja-kerja baik pulih selesai, Selangor akan beraksi di Stadium Nasional, Kuala Lumpur dan FELDA United menggunakan Stadium Hang Jebat, Melaka manakala Johor dan MBJB mungkin beraksi di Stadium UTM, Skudai atau Stadium Kluang,” jelasnya. 

Saingan Liga M 2012 bermula dengan aksi sumbangsih, Kelantan bertemu Negeri Sembilan pada 7 Januari, disusuli aksi sulung Liga Super pada 10 Januari dan Liga Perdana pada 13 Januari. 

Ditulis oleh Wan Fakhrul Bakar
Sumber : Berita Harian Online - Sukan

Irfan Tagih Pengalaman Safiq Rahim.





Safiq Rahim di Cardiff City.


KUALA LUMPUR - Pengalaman yang diraih bintang Selangor, Safiq Rahim ketika berlatih di Cardiff City mampu menjadi tonik terbaik buat skuad bimbingan Irfan Bakti menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Irfan berkata, sejak Safiq pulang dari kelab Liga Kejuaraan itu prestasi yang dipamerkan pemain itu semakin baik, malah terdapat peningkatan daripada gaya permainan pemain itu. "Memang ada peningkatan pada Safiq sejak pulang dari Cardiff dan dia juga menunjukkan sikap yang bagus dengan berkongsi pengalaman diperolehi bersama rakan-rakan.

"Saya memang harap yang terbaik buat pemain itu bersama pasukan ini bagi menghadapi musim depan. "Khabar angin bahawa dia akan ke pasukan lain pada musim depan juga tidak benar kerana kita semua bakal menghadapi saingan liga tidak lama lagi," katanya ketika dihubungi semalam.

Irfan menambah dia akan cuba memastikan Selangor mampu mendapatkan sekurang-kurangnya satu piala pada musim depan, selepas gagal mendapat sebarang gelaran musim lalu. Tambah Irfan, persiapan Selangor untuk menghadapi liga 2012 juga semakin baik melalui perlawanan persahabatan yang diadakan.

Malah Irfan juga mahu menjadikan beberapa perlawanan persahabatan akan datang sebagai medan untuk menilai penjaga gol yang ada bagi mengalas tugas besar dalam kesebelasan utama menghadapi musim baru.

"Saya sedang mencari penjaga gol yang akan mengisi slot dalam kesebelasan utama nanti dan penjaga gol yang ada seperti G. Jeevananthan serta Norazlan Razali perlu bersaing untuk mendapatkan tempat tersebut," katanya.

Ditulis oleh : Zazali Jamian
Sumber : Utusan Online - Sukan

Posisi Kapten Piya Mula Tergugat.





Kedudukan Mohd. Badri Radzi (jersi merah) sebagai ketua pasukan Kelantan kini d
ibayangi dengan kehadiran pemain baru, juga pemain import.


KOTA BHARU - Ketua pasukan The Red Warriors musim lalu, Mohd. Badri Radzi atau Piya perlu mempertingkatkan prestasi bagi memastikan posisi beliau kekal musim hadapan.

Ini berikutan pasukan itu kini dibarisi beberapa pemain ternama termasuk import yang berkemampuan untuk menduduki posisi tersebut. Jurulatih Kelantan, Peter James Butler berkata, ia merupakan satu cabaran sekali gus menuntut Piya menunjukkan komitmen yang tinggi dalam saingan musim hadapan.

"Namun saya percaya keupayaan Piya untuk membimbing pasukan, cuma dia kena ingat Kelantan sekarang mempunyai banyak pilihan termasuk pemain import.

"Saya mahu ketua pasukan musim ini mengambil tanggungjawab untuk membentuk kerjasama dalam satu pasukan. Ketua pasukan bukan satu tugas yang mudah," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tambahnya, kehadiran trio bekas pemain T-Team dan pemain import akan menjadi saingan sengit kepada Piya. Beliau bagaimanapun berkata, penentuan ketua pasukan pasukan hanya terletak kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

Buat masa ini katanya, pemain tengah yang sedang meningkat, Shakir Shaari mempunyai potensi untuk menggalas tugas sebagai ketua pasukan sekiranya Piya tidak diturunkan. Sementara itu, Piya diminta mengulas mengenai situasi tersebut mengakui berhadapan saingan sengit untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

"Bagaimanapun saya tidak kisah siapa yang menjadi ketua pasukan. Apa yang penting kami dalam satu keluarga dapat mencipta kemenangan dalam setiap perlawanan.

"Kami mempunyai pemain yang cukup lengkap. Contohnya Indra Putra Mahayuddin, Norfarhan Muhammad dan Shahrul Idlan Talaha sudah mengetahui corak permainan masing-masing. "Cuma kita menghadapi masalah komunikasi dengan pemain import tetapi saya rasa ia akan dapat diatasi," katanya.

Ditulis oleh : Wartawan Utusan
Sumber : Utusan Online - Sukan

TRW Belum Layak Untuk Dipuji.





Belum layak dipuji - Butler.


KOTA BHARU – Skuad The Red Warriors belum layak untuk diberi pujian sepenuhnya sebaliknya masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Ini kata jurulatihnya, Peter James Butler merujuk persembahan pasukan tersebut ketika menentang T-Team pada aksi persahabatan di sini, baru-baru ini yang berakhir Kelantan menang 2-0.

“Melihat kepada corak permainan pada perlawanan tempoh hari kita mampu menjaringkan banyak gol. “Kita boleh menang lima gol, tapi oleh kerana beberapa kelemahan membuatkan pasukan hanya menang dua gol sahaja. “Saya mahu menang setiap perlawanan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di sini, semalam.

Tambah Butler, berdasarkan pengalamannya membimbing Kelantan sebelum ini, ia merupakan satu cabaran besar buat dirinya kerana peminat negeri ini sentiasa ingin menyaksikan kemenangan pasukan.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemajuan prestasi yang dipamerkan anak didiknya menerusi sesi latihan sepanjang dua minggu termasuk beberapa siri perlawanan persahabatan yang diadakan sebelum ini.

Beliau berkata, pada asasnya semua pemain termasuk pemain import menunjukkan peningkatan prestasi baik. Namun jelasnya, dalam bola sepak tidak boleh diam dari melakukan perubahan dari masa ke semasa secara optimum.

Sehubungan itu, beliau berharap, empat perlawanan persahabatan dalam tempoh dua minggu ini akan menjadi medan ujian pasukan tersebut dalam menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

“Perlawanan tersebut akan digunakan dengan sebaik mungkin bagi menilai tahap kecergasan dan kesebelasan utama dalam pasukan,” katanya.

Ditulis oleh : Mohd Zuharman Mohammad Nor
Sumber : Utusan Online - Sukan

Harimau Cemerlang Di Australia.





Thamil, Fakri & Gurusamy turut catat nama sebagai penjaring.


ADA kelas! Itulah jawapan terbaik boleh dirumuskan mengenai skuad Olimpik negara yang baru menamatkan misi pertapaan di bumi Australia semalam sejak ‘berguru’ pada 10 Disember lalu.

Kunjungan skuad pimpinan Ong Kim Swee ke benua Oceania itu bukan sekadar bersifat makan angin semata-mata, tetapi sebagai persediaan mengharungi baki tiga perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik London 2012.

Dalam tiga siri pertemuan menentang kelab Liga A-Australia, Harimau Muda berjaya merakam dua kemenangan. Kemenangan pertama menga­tasi Sydney FC 3-0 sebelum tewas tipis 1-0 kepada Central South Mariners.

Tetapi, anak didik Kim Swee pantas menebus kekalahan itu dengan membelasah Central South Mariners 4-1 pada aksi ulangan kedua beriku-tan perlawanan menentang Newcastle Jets yang dibatalkan.

Siri latihan di sana juga menampakkan kesan positif apabila satu lagi bakat baru berjaya ‘dihasilkan’ dan bakal menyemarakkan lagi kancah liga bola sepak tanahair. Siapa lagi kalau bukan penyerang Kuala Lumpur kelahiran Labuan, Ahmad Hazwan Bakri yang muncul sebagai penjaring terbanyak, apabila meledak empat jaringan di Sydney.

Baru dipanggil Kim Swee untuk menjalani latihan bagi menyertai misi ke Australia pada 5 Disember lalu, Hazwan tidak menunggu lama dengan debut pertamanya pada 13 Disember sewaktu bertemu Sydney FC.

Kepercayaan diterimanya itu dibalas dengan begitu sempurna selepas membantu Harimau Muda menang 3-0 termasuk sempat menyumbang dua gol untuk pasukan negara. Penghormatan juga wajar diberikan kepada K Gurusamy, A Thamil Arasu dan Ahmad Fakri Saarani dengan mencatat nama sebagai senarai penjaring.

Kini, mereka bakal kembali ke tanahair hari ini, sebelum menempuh saingan baru Liga Singapura yang dijadual bermula tahun depan, sambil mengibar cabaran sebagai pasukan tunggal dari Asia Tenggara beraksi pada kelayakan Olimpik.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik ialah pada 1980 di Moscow, Rusia, tetapi kerajaan Malaysia memboikot temasya itu kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan. Sebelum itu, Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman.

Ulasan penulis : Penyerang Harimau Muda, Ahmad Fakri Sarani sudah mula menunjukkan peningkatan dalam permainan beliau apabila telah menyumbangkan 2 gol dalam 3 perlawanan persahabatan menentang Kelab Australia. 

Walaupun pencapaian itu tidak boleh dijadikan kayu ukuran untuk menilai prestasi beliau, sekurang - sekurangnya pencapaian ini boleh menaikkan semangat beliau untuk terus mempamerkan prestasi yang cemerlang dalam perlawanan yang akan datang.

Ulasan artikel : Nick Hafiz
Artikel oleh : Mohd Fahmi Ismail
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Harimau Malaya

Tuesday, December 20, 2011

Hazwan Bukti Berhak Berada Dalam Skuad.





Ahmad Hazwan Bakri.


PENYERANG skuad Olimpik negara, Ahmad Hazwan Bakri membuktikan dirinya berhak untuk terus mendapat tempat dalam skuad itu apabila menjadi pencetus kemenangan besar 4-1 ke atas kelab Liga Australia, Central Coast Mariners FC semalam.

Dalam aksi persahabatan di padang Akademi Central Coast Mariners, Mingara itu, Hazwan pemain dari Kuala Lumpur yang dipinjamkan ke Harimau Muda A meledak dua gol selepas masuk menggantikan Ahmad Fakri Saarani pada babak kedua.

Ia gol keempat keseluruhan pemain berusia 20 tahun itu dalam siri jelajah skuad Olimpik negara di Sydney selepas turut menjaringkan dua gol ketika menewaskan Sydney FC pada aksi pertama.

“Walaupun hanya diberi peluang bermain selama 45 minit tapi saya berpuas hati kerana dapat membantu pasukan negara meraih kemenangan.

“Pengalaman di Australia ini cukup baik bagi saya kerana dapat menentang pasukan yang memiliki kekuatan fizikal dan permainan pantas,” katanya yang berminat untuk bersama Harimau Muda A beraksi di Liga Singapura musim depan jika ditawarkan kontrak.

Sementara itu Fakri yang meledak gol pembukaan negara menentang skuad gabungan enam pemain utama dan remaja Mariners itu, berharap dapat mengekalkan aksi cemerlang selepas prestasi turun naik tahun ini.

“Saya harap gol ini dapat mengembalikan keyakinan semula untuk membantu skuad Olimpik bagi pusingan kelayakan tahun depan. Saya tak kisah dengan kritikan sebelum ini kerana saya akan terus berusaha,” kata bekas pemain Negeri Sembilan itu yang akan beraksi dengan Felda United tahun depan.

Ditulis oleh : Wartawan Metro
Sumber : myMetro Online - Arena Sukan

Harimau Muda Mengamuk.





THAMIL ARASU turut mencipta nama sebagai penjaring pada aksi Malaysia menentang
Central South Mariner di Sydney, Australia semalam. Malaysia menang 4-1.


BAGAIKAN harimau yang kelaparan. Itu perumpamaan paling tepat bagi menggambarkan prestasi skuad Harimau Muda kendalian Ong Kim Swee yang tampil garang untuk membelasah Central South Mariner 4-1 pada perlawanan persahabatan terakhir mereka di bumi Australia semalam.

Tewas pada aksi kedua kepada pasukan yang sama di Sydney pada 14 Disember lalu nyata tidak mematahkan semangat skuad remaja negara itu, malah mereka tampil dengan rentak yang lebih bertenaga dan terancang.

Dua gol daripada Ahmad Hazwan Bakri dan satu gol masing-masingnya dijaringkan oleh Ahmad Fakri Saarani dan A. Thamil Arasu sudah cukup untuk membuktikan betapa mereka inginkan kemenangan sebelum kembali ke tanah air hari ini.

Kehadiran Mohd. Muslim Ahmad yang baru pulih daripada kecederaan betis turut memberikan impak kepada benteng pertahanan negara dalam mengekang asakan pasukan tuan rumah.

Bagi Kim Swee, dia merupakan individu paling gembira dengan kemenangan tersebut kerana ia dicapai dengan gaya yang sungguh memberangsangkan Menurutnya, semua pemain beraksi cemerlang dan mereka betul-betul mempergunakan kelebihan yang ada pada diri masing-masing.

“Saya amat berpuas hati dengan prestasi semua pemain. Barisan serangan pada hari ini (semalam) amat berjaya terutama Hazwan yang telah menjaringkan dua gol. Fakri dan Thamil juga tidak mengecewakan saya.

“Sebenarnya kami memiliki banyak peluang untuk menambah jaringan ketika menentang Central South Mariner pada babak kedua perlawanan namun nasib tidak menyebelahi kami.

“Saya sangat gembira dengan prestasi yang dipamerkan oleh skuad ini. Ini menunjukkan satu keputusan sangat positif yang dilihat sebagai persiapan terbaik untuk menghadapi Liga Singapura dan kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bawah 22 tahun pada tahun hadapan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Sydney semalam.

Selain dua kejohanan penting itu, Kim Swee juga menegaskan beliau mahu membina satu pasukan yang lebih mantap untuk jangka masa panjang dalam menghadapi saingan temasya Sukan SEA 2013 Myanmar kelak.

“Sudah tentu kami kini sedang berusaha untuk meningkatkan tahap prestasi pemain muda ini untuk terus membina satu pasukan yang lebih kuat bagi menghadapi kejohanan-kejohanan akan datang.

“Dengan pendedahan perlawanan bermutu tinggi seperti ini, saya amat mengharapkan pemain dapat memanfaatkan segala pengalaman dan peluang untuk terus tampil dengan aksi terbaik dalam aksi kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia menentang Bahrain pada tahun depan.

“Paling mustahak, mereka harus mengekalkan konsistensi dalam corak dan rentak permainan masing-masing,” katanya.

Ditulis oleh : Ahmad Fazli Mohd Yadi
Sumber : Kosmo! Online - Sukan