Pages

Monday, December 12, 2011

Tidak perlu Tayang Taring.





Red Giants 2012.


BERDASARKAN senarai yang menjadi lawan Selangor dalam aksi persahabatan pra musim, gergasi Merah Kuning boleh disifatkan menyimpan taring sebenar sehingga pertarungan Liga M 2012 bermula pada Januari tahun depan.

Selepas memulakan aksi pra musim dengan menewaskan pasukan berstatus kelab Sime Darby FC minggu lalu, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu akan meneruskan beberapa lagi aksi persahabatan dalam negara dengan pasukan seperti MP Muar, Johor, Sabah, UiTM, Pahang dan Pos Malaysia menjadi lawan.

Ia sekali gus dilihat sebagai langkah yang bertentangan berbanding beberapa pasukan handalan lain seperti Kelantan, Terengganu dan T-Team yang mengatur perlawanan 'berat' bagi mempersiapkan pasukan ketika saingan berbaki kira-kira empat minggu lagi. 

Irfan Bakti ketika ditanya mengenai pendekatan berbeza yang diambilnya menentang kebanyakan kelab Liga Perdana itu menjelaskan ia adalah berdasarkan kehendaknya sendiri bersesuaian dengan usaha untuk mencuba semua pemain dalam pasukan.

“Selangor tidak takut bertemu Kelantan atau Terengganu. Pada pandangan saya, buat apa bertemu mereka sekarang, sudah pasti kami akan bertemu juga pada saingan liga musim depan. Apabila tiba masa kami akan memberikan aksi terbaik dengan menurunkan kesebelasan utama,” kata bekas pengendali Terengganu itu.

Tambahnya, walaupun Selangor sudah mendapatkan dua pemain import iaitu Ramez Dayoub (Lubnan) dan Lalo Mbele (Congo), skuad itu masih belum lengkap sepenuhnya berikutan ketiadaan dua pemain berpengaruh Mohd Amri Yahyah dan Mohd Safiq Rahim selain K Gurusamy yang berada di Australia bersama skuad Olimpik negara.

“Masih terlalu awal untuk saya menilai mana-mana pemain dalam skuad ini berdasarkan aksi menentang Sime Darby tempoh hari, mungkin selepas tiga atau empat perlawanan tahap sebenar dan kemampuan pemain akan diketahui,” katanya.

Selangor musim ini mensasarkan sekurang-kurangnya mendakap satu piala untuk dimenangi selepas menamatkan musim ini tanpa sebarang kejuaraan.

Ditulis oleh : Azlan Muhammad Zain
Sumber : myMetro Online - Arena Sukan

No comments:

Post a Comment