Pages

Wednesday, December 28, 2011

FAM Putuskan Tidak Lama Lagi.





Masalah lampu limpah.


KOTA BHARU - Teka-teki sama ada pasukan Kelantan terpaksa beraksi pada sebelah petang dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan mungkin akan terjawab apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka membuat keputusan mengenai perkara tersebut tidak lama lagi.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Azman Ibrahim berkata, segalanya terserah kepada badan induk bola sepak kebangsaan itu yang akan membuat keputusan mengenai perkara tersebut selewat-lewatnya hujung bulan ini.

“Sekiranya masalah lampu limpah itu gagal diatasi, pihak FAM dijangka membuat keputusan dengan perlawanan Sumbangsih (Kelantan bertemu Negeri Sembilan) akan dilangsungkan di Lembah Klang, sementara perlawanan Liga Super bagi Kelantan selaku tuan rumah pula akan berlangsung pada sebelah petang.

“Namun saya menaruh sepenuh kepercayaan kepada pihak Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) meletakkan masalah ini, selaku perkara utama yang perlu diatasi dalam masa terdekat. “Apabila kita terpaksa bermain sebelah petang, kesannya menjejaskan daripada segi sokongan peminat dan prestasi pasukan kita sendiri,” katanya.

Stadium Sultan Muhammad IV antara beberapa gelanggang yang disenaraikan pihak FAM tidak mematuhi peraturan pertandingan bola sepak untuk musim depan, gara-gara tahap pencahayaan lampu limpah yang tidak mencapai had minima 900 lux.

Mengulas mengenai perkembangan terbaru masalah tersebut, Azman berkata, beliau difahamkan oleh pihak perbadanan stadium tahap pencahayaan lampu limpah di stadium berusia 44 tahun itu, sebenarnya mencukupi dan mematuhi sebagaimana yang disyaratkan oleh peraturan pertandingan bola sepak tempatan.

“Sebenarnya tidak perlu dinaiktaraf pun dan kita hanya perlu menyelaras semula suluhan lampu limpah itu.

“Kita ada membawa perunding lampu dari Kuala Lumpur bagi menilai masalah ini. Masalah lampu limpah ini sebenarnya tidak memerlukan kajian yang lebih menyeluruh.

“Ada lebih kurang empat atau lima lampu limpah di setiap penjuru stadium menyala tetapi tidak berfungsi dengan sepenuhnya.

“Kalau perkara ini dapat diatasi, saya percaya masalah lampu limpah stadium kita akan berakhir.

“Kita sudah pemeriksaan dan kita dapati hanya satu tempat sahaja iaitu kawasan tepi padang berhadapan ‘scoreboard’ gagal mencapai tahap pencahayaan minima 900 lux.

“Tahap pencahayaan yang kita ukur tempoh hari hanya sekitar 600 lebih lux. “InsyaAllah, kita berharap masalah ini dapat diatasi sebelum hujung bulan ini,” katanya.

Ditulis oleh : Mazram Idzam Ridzal Mahmud
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

No comments:

Post a Comment