Pages

Monday, December 26, 2011

Gemilang Bolasepak Malaysia 2011.





Saat paling manis tahun 2011.


SEPANJANG tahun ini, kalender bola sepak negara meriah dengan pelbagai perlawanan sama ada melibatkan perlawanan domestik ataupun peringkat antarabangsa. 

Antara yang masih diperkatakan ialah perlawanan persahabatan menentang tiga kelab elit Liga Perdana Inggeris (EPL) Arsenal, Chelsea dan Liverpool. Walaupun gagal menghasilkan sebarang kemenangan, namun pemain tetap mampu memberikan per sembahan terbaik.

Malah, Liga Malaysia tidak kurang meriahnya, walaupun perjalanan liga musim ini dikuasai pasukan dari Pantai Timur seperti Kelantan (juara Liga Super) dan Terengganu (juara Piala FA). Berikut antara peristiwa penting melibatkan bola sepak di negara ini : 

Layak Ke Pusingan Kedua Sejak 1974

PASUKAN bola sepak Malaysia pimpinan Datuk K Rajagobal melakar sejarah, apabila membawa pemainnya melangkah ke pusingan kedua Piala Dunia 2014 sejak menyertai kejohanan itu pada pusingan kelayakan 1974 di Jerman. Namun begitu, langkah garang skuad bergelar Harimau Malaya terhenti, selepas kalah 6-4 secara agregat kepada Singapura, Julai lalu.

Skuad Olimpik Tamat Badi 39 Tahun

BADI 39 tahun gagal mara ke pusingan ketiga kelayakan Olimpik terlerai, apabila anak didik Ong Kim Swee berjaya mengatasi cabaran Pakistan dan Lebanon dalam aksi terdahulu. Kini, mereka bersaing merebut slot kedua Kumpulan C untuk layak ke London 2012, walaupun setakat ini telah tumpas tiga perlawanan berturut-turut.

Kekal Ibu Segala Emas

SKUAD bimbingan Ong Kim Swee mempamerkan aksi membanggakan Malaysia apabila mempertahankan ‘ibu pingat emas’ apabila menewaskan tuan rumah Indonesia menerusi penentuan penalti 4-3 selepas terikat 1-1 pada perlawanan sepenuh masa penuh dramatik di Stadium Gelora Bung Karno. Kejayaan Harimau Muda itu, melengkapkan pingat emas ke-59 kontinjen negara di Sukan Sea ke-26.

Piala Malaysia Milik Negeri Sembilan

PIALA Malaysia akhirnya kembali ke Negeri Sembilan buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun, apabila kebangkitan pada 10 minit terakhir oleh anak-anak buah Mohd Azraai Khor Abdullah berjaya membenam Terengganu 2-1 dalam pentas akhir di Stadium Shah Alam, Oktober lalu.

Di hadapan 70,000 penonton, penyerang veteran, Hairuddin Omar atau ‘Hai-O’ membuktikan dia membawa tuah kepada Negeri Sembilan apabila jaringannya pada minit ke-86 memastikan Terengganu pulang hampa, walaupun skuad Penyu berkelebihan satu gol menerusi Mohd Ashaari Samsudin (minit ke-59).

Kelantan Julang Piala Liga Super

PASUKAN Kelantan dibawah kendalian Datuk M Karathu muncul juara Liga Super musim ini. Malah lebih manis, The Red Warriors bakal beraksi pada kejohanan Piala konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Mac depan.

Terengganu Julang Piala FA

SKUAD Terengganu akhirnya menamatkan kemarau 10 tahun Piala FA, selepas menumpaskan jiran tetannga Kelantan pada aksi final di stadium Nasional Bukit Jalil, Jun lalu. Walaupun ketinggalan, skuad Penyu yang ketika itu dibimbing Irfan Bakti Abu Salim berjaya melakukan kebangkitan untuk menumpaskan Kelantan 2-1.

Ditulis oleh : Wartawan Sinar Harian
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

No comments:

Post a Comment