Pages

Tuesday, December 20, 2011

Hazwan Bukti Berhak Berada Dalam Skuad.





Ahmad Hazwan Bakri.


PENYERANG skuad Olimpik negara, Ahmad Hazwan Bakri membuktikan dirinya berhak untuk terus mendapat tempat dalam skuad itu apabila menjadi pencetus kemenangan besar 4-1 ke atas kelab Liga Australia, Central Coast Mariners FC semalam.

Dalam aksi persahabatan di padang Akademi Central Coast Mariners, Mingara itu, Hazwan pemain dari Kuala Lumpur yang dipinjamkan ke Harimau Muda A meledak dua gol selepas masuk menggantikan Ahmad Fakri Saarani pada babak kedua.

Ia gol keempat keseluruhan pemain berusia 20 tahun itu dalam siri jelajah skuad Olimpik negara di Sydney selepas turut menjaringkan dua gol ketika menewaskan Sydney FC pada aksi pertama.

“Walaupun hanya diberi peluang bermain selama 45 minit tapi saya berpuas hati kerana dapat membantu pasukan negara meraih kemenangan.

“Pengalaman di Australia ini cukup baik bagi saya kerana dapat menentang pasukan yang memiliki kekuatan fizikal dan permainan pantas,” katanya yang berminat untuk bersama Harimau Muda A beraksi di Liga Singapura musim depan jika ditawarkan kontrak.

Sementara itu Fakri yang meledak gol pembukaan negara menentang skuad gabungan enam pemain utama dan remaja Mariners itu, berharap dapat mengekalkan aksi cemerlang selepas prestasi turun naik tahun ini.

“Saya harap gol ini dapat mengembalikan keyakinan semula untuk membantu skuad Olimpik bagi pusingan kelayakan tahun depan. Saya tak kisah dengan kritikan sebelum ini kerana saya akan terus berusaha,” kata bekas pemain Negeri Sembilan itu yang akan beraksi dengan Felda United tahun depan.

Ditulis oleh : Wartawan Metro
Sumber : myMetro Online - Arena Sukan

No comments:

Post a Comment