Pages

Wednesday, December 7, 2011

Samba Brazil Pilihan Skuad Hijau Kuning.





Jurulatih pasukan Kedah, Wan Jamak Wan Hassan.


JAGOAN dari utara, Kedah menyasarkan sekurang-kurangnya satu piala untuk dimenangi khususnya menghadapi saingan musim baru Liga Malaysia yang dijangka bermula, awal Januari depan.

Bagi memastikan sasaran dilaungkan itu bukan sekadar angan-angan kosong, pengendalinya, Wan Jamak Wan Hassan rancak menyusun strategi termasuk mengadakan beberapa siri pertemuan persahabatan dengan kelab luar.

“Selepas Kedah gagal melakar sebarang gelaran yang dipertandingkan tahun ini, kami membuat persiapan awal bagi membina semula skuad berikutan penghijrahan beberapa pemain utama.

“Setakat ini, empat pemain tempatan dari Perak, Perlis dan Pos Malaysia bersama kita dan mereka masih dalam penilaian,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Diminta mengulas mengenai dua awang import dari Brazil yang dikatakan bakal menyarung jersi pasukan, Wan Jamak mengesahkan perkara berkenaan.

“Memandangkan 8 Disember tarikh akhir daftar pemain import, kita telah mendapatkan Daniel Baroni (pemain tengah) dan Danilo Rafael (pertahanan tengah) yang kedua-duanya berasal dari Brazil sebagai pemain import Kedah musim depan.

“Prestasi dipamerkan mereka begitu baik dalam siri persahabatan sebelum ini walaupun ada sedikit kekurangan. Namun begitu, kita tidak boleh menyandarkan tahap permainan mereka hanya dalam beberapa aksi.

“Saya yakin, kehadiran Baroni dan Rafael mampu menyuntik semangat pasukan Hijau Kuning serta kombinasi anak watan yang dijangka mengembalikan maruah pasukan sebagai pasukan disegani tahun depan,” katanya.

Kedah mencipta sejarah tersendiri dalam arena bola sepak tempatan dengan muncul pasukan pertama berjaya mempertahankan koleksi tiga gelaran iaitu Juara Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia buat musim kedua berturut-turut pada 2007 dan 2008 lalu.

Ditulis oleh : Mohd Fahmi Ismail
Sumber: Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

No comments:

Post a Comment