Pages

Monday, September 10, 2012

Peminat Mahu Hai-O Kembali Wakili Terengganu.




Hairuddin Omar aka Hai-O.


KEINGINAN ketua pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Hairuddin Omar atau lebih mesra dengan panggilan Hai-O untuk kembali menyarung jersi Terengganu tahun depan disambut baik peminat bola sepak di negeri itu.
   
Beberapa peminat bola sepak Terengganu ketika ditemui Bernama rata-rata melahirkan rasa syukur dan teruja sekiranya pemain berusia 33 tahun yang berasal dari Setiu, Terengganu itu kembali ke pangkuan negeri kelahirannya.
   
Seorang nelayan Ramli Embong, 45, dari Kampung Seberang Takir di sini berkata, kepulangan pemain yang boleh bermain di posisi tengah atau penyerang itu tepat pada masanya ketika pasukan bola sepak Terengganu kini berada dalam keadaan terumbang-ambing.
   
"Kita perlukan pemain seperti Hai-O yang boleh merancang dan sekali gus boleh menjaringkan gol," katanya.
   
Semalam, media melaporkan Hairuddin menyuarakan hasratnya untuk kembali bersama skuad Penyu selepas lebih 10 tahun menyarung jersi beberapa pasukan antaranya Pahang, Negeri Sembilan dan Kelantan.
  
Hairuddin pernah membantu Terengganu menjuarai Piala Malaysia pada 2001, Kelantan pada 2010 dan membantu Negeri Sembilan merangkul piala itu dua kali pada 2009 dan 2011. Seorang lagi peminat, Abdullah Jusoh, 30, seorang pekerja swasta melahirkan keyakinan Terengganu akan kembali mantap sekiranya Hairuddin berada dalam pasukan itu.
   
Beliau berkata, Hairuddin merupakan pemain hebat dan ini dibuktikan ketika Hairuddin menyertai Negeri Sembilan dan Kelantan di mana kedua-dua negeri itu menjuarai Piala Malaysia. Peminat wanita, Maimon Mahmud, 28, juga mengalu-alukan kepulangan Hairuddin dan berkata kepulangan pemain itu dinanti-nantikan peminat Terengganu.
   
"Kita harap pengurusan PBSNT menerima Hairuddin demi untuk mengembalikan maruah bola sepak negeri ini," katanya. - Bernama

Sumber : Sinar Harian

TRW Kempunan Guna Keita & Dadic.




Pemain import Kelantan, Keita Mandjou (kiri), Mijo Dadic (gambar kecil)


Juara Piala FA dan Liga Super, Kelantan terlepas peluang menggunakan khidmat dua pemain import terbarunya, Keita Mandjou dan Mijo Dadic dalam saingan suku akhir Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tidak lama lagi.

Kegagalan tersebut merupakan satu tamparan hebat bagi Kelantan yang terpaksa berhadapan kelab terbaik dari Iraq, Arbil dalam aksi timbal balas pada 18 dan 25 September ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, kegagalan mendapatkan sijil perpindahan antarabangsa (ITC) menjadi punca urusan pendaftaran kedua-dua pemain import tersebut tidak dapat dilakukan oleh pihaknya.

“Peraturan AFC membenarkan pasukan yang layak ke suku akhir boleh membuat pendaftaran baru. Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menetapkan syarat mana-mana pemain yang berpindah kelab perlu membuat pengesahan menerusi Transfer Matching Sistem atau TMS,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

“Bila proses TMS dilaksanakan, barulah ITC boleh dikeluarkan. Peraturan Fifa menetapkan TMS untuk Malaysia dibuka dua kali setahun. Namun tempoh yang dibuka (urusan pendaftaran pemain import) oleh PersatuanBola  Sepak Malaysia (FAM) tidak selari dengan Fifa.

“Kita rujuk peraturan Fifa, ambil Keita (Mandjou) dan Mijo (Dadic) tetapi bila hendak daftar mereka tidak boleh sebab TMS kita sudah ditutup. Ini merupakan satu kerugian besar bagi Kelantan apabila bersaing di peringkat antarabangsa tanpa pemain import yang bagus,” katanya.

Tidak menyalahkan seratus peratus FAM di atas kegagalan tersebut, Annuar bagaimanapun berharap badan induk bola sepak kebangsaan itu dapat menyeragamkan peraturan mereka dengan pihak AFC agar masalah tersebut tidak berulang pada masa akan datang. 

Sumber : Sinar Harian

Thursday, January 12, 2012

Marlon Hilang Seminggu.





Marlon Alex James.


SELEPAS muncul wira pasukan dengan meledak dua gol ketika menentang NS Betaria kelmarin, penyerang import Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Marlon Alex James terpaksa disisih selama seminggu akibat kecederaan.

Pengendali ATM, B Sathianathan bagaimanapun memberitahu tahap kecederaan menimpa pemain berasal dari St Vincent and the Grenadines itu tidak serius namun terpaksa direhatkan pada perlawanan kedua menentang MBJB FC, Jumaat ini.

“Walaupun terpaksa beraksi tanpa kelibat Marlon, saya tetap yakin dengan kemampuan pemain lain seperti Hairuddin Omar, Zaquan Adha dan juga Fitri Omar untuk menerajui pasukan ATM.

“Ketiadaan Marlon sedikit pun tidak menjadi masalah dalam merangka strategi pasukan kerana kami masih lagi mempunyai barisan pemain yang boleh menggantikan tempatnya,” katanya.

Meletakkan Hai-O sebagai penggempur utama, Sathia mahu anak buahnya meningkatkan prestasi berbanding perlawanan pertama Isnin lalu.

Ditulis oleh : Norashikin Leman
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

Ahmad Said Naik Angin.





Ahmad Said ancam saman FAM.


KONTROVERSI 'surat pekeliling' yang melibatkan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum reda. Semalam, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said tampil menyuarakan rasa kesal dan tidak puas hatinya ekoran 'penderitaan' yang dialami pasukan bola sepak Terengganu gara-gara kekeliruan yang timbul dalam surat tersebut.

Dalam nada keras, Ahmad yang juga penyokong No. 1 Terengganu mengemukakan tiga pilihan kepada FAM dengan dua daripada syarat itu ialah meminta badan induk bola sepak negara itu membayar ganti rugi atau membenarkan dua pemain import yang telah ditandatangani Terengganu beraksi dalam Liga Super.

Bagaimanapun, syarat ketiga yang disuarakan Ahmad perlu diambil serius FAM apabila Menteri Besar itu mengancam akan menarik penyertaan Terengganu dan T-Team daripada beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M).

"Saya mewakili kerajaan negeri yang memberi peruntukan kepada pasukan dan kami telah berbincang dengan peguam berkaitan isu ini.

"Kita nak ingatkan FAM, kalau mereka salah, mereka kena akui dan kita boleh terima. Tetapi kita ada tiga pilihan sebab kerajaan negeri yang bertanggungjawab ke atas pasukan Terengganu," tegas Ahmad kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kuala Terengganu semalam.

Jelas Ahmad lagi, tiga pilihan atau syarat itu ialah membenarkan kedua-dua pemain import yang telah didaftar itu bermain dengan Terengganu dalam Liga M serta membayar ganti rugi.

"Situasi paling sukar kemungkinan besar kita akan tarik pasukan Terengganu serta T-Team dan tidak akan bertanding dalam Liga Malaysia," ujarnya lagi. Ahmad yang melihat sendiri surat pekeliling bertarikh 23 Disember itu juga menjelaskan, dia tidak takut untuk digantung demi menjaga maruah bola sepak Terengganu.

Katanya, surat pekeliling itu secara jelas menyatakan yang Terengganu boleh mendaftar pemain import untuk beraksi dalam Liga M sebelum 9 Januari dan tanpa menyebut satupun perkara berkaitan Piala AFC.

"Nak gantung, gantung la...sebab FAM tidak bersikap profesional. Kita main bola untuk suka-suka dengan liga yang kita ada. Tetapi kalau sudah begini, ia memang tidak adil. "Kamu (FAM) beri arahan, lepas itu silap dan kemudian kamu salahkan kami. Itu tidak adil namanya. Kecualilah jika mereka ego.

"Sebab itu pasukan Malaysia tidak berkembang sebab ada pegawai-pegawai yang macam ini yang bermain politik. Kita kata kita profesional tetapi sikap tidak profesional," ujarnya.

Jelas beliau lagi, jika perkara ini tidak diselesaikan dengan cara baik, pihaknya juga sedia mengambil tindakan undang-undang berdasarkan surat pekeliling itu. "Saya nak tengok reaksi selepas kenyataan ini dan apa yang FAM akan buat. Lagipun, kita sudah panjangkan perkara ini ke pihak peguam dan kita ada hak untuk tuntut.

"Kita saman bukan nak dapat kepentingan pun, tapi kerajaan negeri terpaksa tanggung kerugian. Kalau kita nak tunggu pemain import bermain bulan April, buat apa kerajaan negeri nak bayar begitu sahaja," tegasnya lagi.

Sebelum ini, kontroversi membabitkan FAM dan PBSNT bermula apabila Terengganu menandatangani dua pemain import iaitu Francis Forkey Doe dari Liberia dan Erison Da Silva Santos Carnieto dari Brazil berdasarkan surat pekeliling bertarikh 23 Disember yang dikeluarkan FAM kepada negeri itu.

Bagaimanapun, FAM kemudian mengesahkan yang PBSNT tidak boleh menggunakan khidmat pemain import itu pada awal musim ini memandangkan surat pekeliling itu hanya merujuk kepada kempen Piala AFC dan bukannya Liga M.

Sehari kemudian, FAM menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad kemudian telah memohon maaf ekoran kesilapan teknikal, namun tetap bertegas dua pemain import Terengganu itu tidak boleh beraksi dalam Liga M.

Ditulis oleh : Mustapha Lakawa
Sumber : Kosmo! Online - Sukan

Kembalikan Semula Pestabola Merdeka.







KUALA LUMPUR - Kehadiran momentum kejayaan dan minat penyokong serta keyakinan pasukan lawan yang lebih handal terhadap kemampuan Harimau Malaya, sudah membentuk formula yang tepat untuk menyaksikan kepulangan Pestabola Merdeka dalam waktu terdekat ini.

Empat tahun pertandingan jemputan antarabangsa antara tertua Asia itu menyepi dan alangkah baiknya jika ia dihidupkan semula, malah jauh lebih baik daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengatur siri persahabatan yang bersifat 'sekali pakai buang' (one-off).

Dengan Malaysia bakal mengelolakan malah mempertahankan Piala Suzuki AFF dari 24 November hingga 22 Disember ini, kehadiran sebuah pertandingan berdaya saing dengan ganjaran tertentu selain menjadi medan pemanas badannya, memang tidak dapat disangkal lagi kepentingannya.

Senada untuk menyaksikan kembalinya kejohanan yang diilhamkan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra pada 1957 ini ialah Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Antarabangsa persatuan.

"Memulihkan semula Pestabola memang ada dalam perancangan saya kerana ia bukan satu masalah besar dari segi pengelolaannya tetapi kita perlu pastikan kesesuaian masa dan konsepnya sahaja serta sejauh mana sambutan lawan yang diundang.

"Ada baiknya kalau pasukan jemputan itu adalah dari kalangan yang terkuat dari Asia Tenggara mahupun yang memiliki pengikut setia yang mampu memenuhi stadium di sini seperti Thailand dan Indonesia, beberapa negara dari Afrika dan sebuah lagi wakil Eropah.

"Maka, gabungan pasukan kebangsaan lawan ini akan menghasilkan suatu taraf persaingan yang cukup tinggi bagi Pestabola sekali gus mempengaruhi ranking pasukan kebangsaan kita," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Kali terakhir Pestabola Merdeka berlangsung ialah pada 2008 yang menyaksikannya menjadi milik skuad bawah 23 tahun Vietnam yang menewaskan Malaysia menerusi penentuan penalti 6-5 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Tengku Abdullah turut tertarik untuk menyaksikan Pestabola di luar Lembah Klang khususnya di negeri Pantai Timur yang kini dikatakan menjadi kuasa baru bola sepak tempatan selain ekoran sambutan hangat penyokong setia mereka.

Namun katanya: "Sebagai menghargai sokongan itu, kita juga tidak mahu pasukan undangan seperti Jepun atau Korea Selatan hanya menghantar pasukan kedua atau belia mereka kerana menyedari pasukan kita di ranking lebih bawah lalu cuba 'menjual mahal'."

Tegasnya, turut perlu diambil kira dalam mengembalikan Pestabola ialah kepadatan jadual Liga Malaysia (Liga Super, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia) musim ini yang mungkin menyulitkan beberapa pasukan untuk melepaskan bintang handalan mereka ke skuad kebangsaan.

"Faktor keletihan pemain pun mungkin wujud jika tarikh pertandingan Pestabola ini begitu dekat dengan Piala Suzuki AFF kerana ia masih menjadi misi terpenting pasukan kita tahun ini namun jika terlalu sukar, tahun depan mungkin lebih sesuai untuk menganjurkannya," katanya.

Ditulis oleh : Abdul Hafiz Ahmad
Sumber : Utusan Online - Sukan