Pages

Thursday, January 12, 2012

Kembalikan Semula Pestabola Merdeka.







KUALA LUMPUR - Kehadiran momentum kejayaan dan minat penyokong serta keyakinan pasukan lawan yang lebih handal terhadap kemampuan Harimau Malaya, sudah membentuk formula yang tepat untuk menyaksikan kepulangan Pestabola Merdeka dalam waktu terdekat ini.

Empat tahun pertandingan jemputan antarabangsa antara tertua Asia itu menyepi dan alangkah baiknya jika ia dihidupkan semula, malah jauh lebih baik daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengatur siri persahabatan yang bersifat 'sekali pakai buang' (one-off).

Dengan Malaysia bakal mengelolakan malah mempertahankan Piala Suzuki AFF dari 24 November hingga 22 Disember ini, kehadiran sebuah pertandingan berdaya saing dengan ganjaran tertentu selain menjadi medan pemanas badannya, memang tidak dapat disangkal lagi kepentingannya.

Senada untuk menyaksikan kembalinya kejohanan yang diilhamkan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra pada 1957 ini ialah Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Antarabangsa persatuan.

"Memulihkan semula Pestabola memang ada dalam perancangan saya kerana ia bukan satu masalah besar dari segi pengelolaannya tetapi kita perlu pastikan kesesuaian masa dan konsepnya sahaja serta sejauh mana sambutan lawan yang diundang.

"Ada baiknya kalau pasukan jemputan itu adalah dari kalangan yang terkuat dari Asia Tenggara mahupun yang memiliki pengikut setia yang mampu memenuhi stadium di sini seperti Thailand dan Indonesia, beberapa negara dari Afrika dan sebuah lagi wakil Eropah.

"Maka, gabungan pasukan kebangsaan lawan ini akan menghasilkan suatu taraf persaingan yang cukup tinggi bagi Pestabola sekali gus mempengaruhi ranking pasukan kebangsaan kita," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Kali terakhir Pestabola Merdeka berlangsung ialah pada 2008 yang menyaksikannya menjadi milik skuad bawah 23 tahun Vietnam yang menewaskan Malaysia menerusi penentuan penalti 6-5 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Tengku Abdullah turut tertarik untuk menyaksikan Pestabola di luar Lembah Klang khususnya di negeri Pantai Timur yang kini dikatakan menjadi kuasa baru bola sepak tempatan selain ekoran sambutan hangat penyokong setia mereka.

Namun katanya: "Sebagai menghargai sokongan itu, kita juga tidak mahu pasukan undangan seperti Jepun atau Korea Selatan hanya menghantar pasukan kedua atau belia mereka kerana menyedari pasukan kita di ranking lebih bawah lalu cuba 'menjual mahal'."

Tegasnya, turut perlu diambil kira dalam mengembalikan Pestabola ialah kepadatan jadual Liga Malaysia (Liga Super, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia) musim ini yang mungkin menyulitkan beberapa pasukan untuk melepaskan bintang handalan mereka ke skuad kebangsaan.

"Faktor keletihan pemain pun mungkin wujud jika tarikh pertandingan Pestabola ini begitu dekat dengan Piala Suzuki AFF kerana ia masih menjadi misi terpenting pasukan kita tahun ini namun jika terlalu sukar, tahun depan mungkin lebih sesuai untuk menganjurkannya," katanya.

Ditulis oleh : Abdul Hafiz Ahmad
Sumber : Utusan Online - Sukan

No comments:

Post a Comment