Pages

Wednesday, January 11, 2012

Harimau Malaya Jemput Australia.





Perlawanan yang berlangsung di Canberra September tahun lalu.


SKUAD Harimau Malaya tampak tidak serik dengan kekalahan besar 0-5 di tangan Australia Oktober lalu sebaliknya bersedia untuk berdepan sekali lagi pasukan Socceroos itu dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa pada Mei ini.

Setakat ini permohonan rasmi untuk mengadakan pertemuan di Kuala Lumpur sudah dikemukakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan hanya menantikan persetujuan Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA).

Perkara itu disahkan pengurus skuad kebangsaan, Datuk Subahan Kamal yang menyifatkan perlawanan itu bakal menjadi pentas buat anak buah Datuk K Rajagobal mempamerkan potensi sebenar selepas dimalukan pada aksi di Canberra sebelum ini.

“Kami merancang mengadakan perlawanan persahabatan dengan Australia di Malaysia dan surat permohonan sudah dihantar, hanya menunggu jawapan daripada FFA.

“Australia pasukan hebat dan menduduki tangga ke-23 dalam ranking Fifa sedangkan kita, ke-148 namun saya yakin jika kita berpeluang bertemu sekali lagi dan beraksi di laman sendiri, pemain akan menunjukkan kemampuan sebenar dan mendapat keputusan lebih baik,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Selain Australia, FAM turut bercadang mengadakan perlawanan persahabatan dengan Thailand pada April, Singapura (Jun), New Zealand, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar sebagai persiapan rapi dalam memikul misi mencabar mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF pada 24 November hingga 22 Disember ini.

Sebelum ini, Arab Saudi sudah menyatakan kesediaan membiayai kesemua kos Harimau Malaya bagi aksi persahabatan di Melbourne pada 24 Februari selain menentang Filipina di Manila pada 29 Februari.

Ketika ditanya mengenai kesan buruk terhadap ranking negara jika kekalahan berulang kepada Australia selepas ini, Subahan yang juga Naib Presiden FAM berkata, peluang menguji pemain dan pendedahan yang diperoleh lebih penting dalam mempersiapkan pasukan ke Piala Suzuki AFF.

“Pada pendapat saya, soal ranking saya tidak risau sangat kerana ada pasukan yang tidak setanding kita tapi mempunyai ranking lebih baik kerana ia mengikut sistem pengiraan Fifa. Tapi jika kita boleh memperbaiki ranking, itu adalah lebih baik namun saya lebih melihat perlawanan yang diatur ini lebih kepada persiapan.

“Uzbekistan pasukan yang bagus juga dibelasah Australia 6-0 pada separuh akhir Piala Asia tahun lalu. Perlu diingat Rajagobal tidak menurunkan kesemua pemain terbaik dan menguji beberapa pemain baru dalam perlawanan dengan Australia sebelum ini,” katanya.

Ditulis oleh : Aziman Rosdi
Sumber : myMetro Online - Arena

No comments:

Post a Comment