Pages

Tuesday, January 10, 2012

Rantai 'Kaki' Effa Owona.





BARISAN para pemain dan pegawai bergambar pada sesi pengenalan pasukan Selangor FA
bagi musim 2012 di Padang SUK, Shah Alam semalam.


JURULATIH Selangor, Irfan Bakti Abu Salim optimis dengan kemampuan barisan pemain pasukan itu dalam misi mengutip tiga mata penuh pada aksi pembukaan tirai Liga Super menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.

Irfan yang turut menyaksikan perlawanan Piala Sumbangsih antara Negeri Sembilan menentang Kelantan, Sabtu lalu mengakui Selangor sudah bersiap sedia. Bagaimanapun, Irfan tetap berwaspada dengan ancaman Negeri Sembilan yang masih segar dengan kemenangan 2-1 ke atas Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil lalu.

Selain itu katanya, pemain import baharu pasukan Hoben Jang Hoben, Jean Emmanauel Effa Owona yang menjadi wira apabila meledakkan dua gol, sekali gus membantu skuad kendalian Azraai Khor Abdullah menjulang trofi itu buat kali pertama juga wajib dirantai habis-habisan.

Jurulatih berasal dari Perak itu percaya dengan kemampuan barisan pemain dan ramuan terbaik yang dimiliki, mereka mampu melakukan permulaan yang mantap pada saingan liga.

"Sudah tentu Negeri Sembilan kini memiliki semangat yang lebih tinggi selepas kejayaan menundukkan Kelantan pada aksi Piala Sumbangsih baru-baru ini.

"Tetapi harus diingat, benteng pertahanan Kelantan cuba mengawal Effa yang dilihat memiliki fizikal lebih baik dan besar berbanding pemain Kelantan, mudah menyelinap masuk di dalam kotak penalti.

"Namun, kami memiliki tonggak pertahanan import, Ramez Dayoub yang akan sentiasa mengawasi penyerang Cameroon itu daripada berleluasa di dalam kotak penalti kami dan saya yakin kami mampu mengatasi Negeri Sembilan pada perlawanan pertama kami," katanya pada sidang akhbar mengumumkan pengurusan dan pemain Selangor di Padang SUK, Shah Alam semalam.

Sementara itu, keyakinan Irfan turut mendapat respons dari Ramez, yang ingin membalas kepercayaan jurulatih, berazam untuk menyekat Effa daripada 'mengganas' di kubu pertahanan Selangor.

Jelas kapten skuad kebangsaan Lubnan itu, setelah mendapat keserasian bersama rakan-rakan sepasukan, dia yakin dapat melakukan tugas tersebut dengan baik. "Effa merupakan seorang penyerang yang hebat. Saya tidak boleh melakukan (menghalang Effa) seorang diri tetapi saya memerlukan bantuan daripada rakan-rakan sepasukan.

"Saya percaya dengan bantuan daripada rakan-rakan sepasukan, kami yakin untuk menyekat Effa, sekali gus kami berazam untuk mengutip tiga mata penuh yang pertama," ujarnya.

Ditulis oleh : Wartawan Kosmo!
Sumber : Kosmo! Online - Sukan

No comments:

Post a Comment