Pages

Tuesday, January 10, 2012

100 Peratus Anak Tempatan.





MAT ZAN tetap yakin dengan kemampuan Terengganu meskipun terpaksa bermain
tanpa khidmat pemain import musim ini.


LUPAKAN segala kontroversi dan buktikan Terengganu boleh menang tanpa pemain import. Demikian laungan semangat yang dilontarkan jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris kepada barisan pemainnya yang akan turun pada aksi pertama Liga Super menentang Perak di Ipoh malam ini.

Tidak seperti kebanyakan pasukan, naib juara Piala Malaysia itu bakal memburu tiga mata penting tanpa seorang pun tenaga import. Semuanya gara-gara kekeliruan yang timbul melibatkan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sehingga memaksa Terengganu berputih mata untuk memiliki seorang pemain import.

"Saya tidak perlu tertekan dengan kekurangan ini kerana saya sangat mempercayai pemain-pemain yang ada.

"Mereka adalah yang terbaik dan mereka juga telah membuktikan pada tahun lalu apabila menjadi juara Piala FA.

"Jadi, tidak timbul soal kami gentar untuk menentang Perak kerana saya memiliki kumpulan pemain tempatan yang cukup lengkap," jelas Mat Zan yang menggantikan posisi Irfan Bakti yang meletak jawatan tahun lalu.

Mengulas mengenai cabaran anak-anak buahnya di Stadium Perak malam ini, Mat Zan menjelaskan yang beliau sudah memiliki kesebelasan utama terbaik berdasarkan siri perlawanan persahabatan sebelum ini.

"Tidak perlulah saya senaraikan siapa yang patut main kerana semua pemain dalam pasukan ini layak berada dalam kesebelasan utama.

"Kami mempunyai tenaga baharu seperti Muslim Ahmad dan Shukur Jusoh dari Harimau Muda serta Shamsul Kamal yang dibawa dari pasukan T-Team," ujarnya.

Bagaimanapun, Mat Zan sedikit kecewa apabila bintang tengahnya, Ismail Faruqi terpaksa disisihkan dalam kunjungan ke Perak gara-gara kecederaan buku lali.

"Kecederaan itu hanya dialami semalam (kelmarin) dan memang sedih kerana kami kehilangan seorang pemain yang baik untuk perlawanan ini," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Mat Zan yang pernah membawa Terengganu menjulang Piala Malaysia tahun 2001 mahu para pemainnya tidak leka dan sentiasa menghormati kemampuan lawan.

"Daripada apa yang saya dimaklumkan, Perak cukup serius dalam membuat persiapan tahun ini termasuk membawa dua pemain import.

"Jadi, pemain kena waspada kerana kelebihan memang memihak kepada Perak selaku tuan rumah," katanya.

Ditulis oleh : Mustapa Lakwa
Sumber : Kosmo! Online - Sukan

No comments:

Post a Comment