Pages

Wednesday, January 11, 2012

Matchday 10 January 2012.





Astro Liga Super Malaysia 2012.


KUALA LUMPUR - Juara bertahan, Kelantan mengorak langkah kanan sekali gus menunaikan hajat besarnya dalam persaingan bola sepak Liga Super 2012 dengan menjinakkan pendatang baru, Lions XII 2-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura, semalam.

Wira Merah yang terlepas Piala Sultan Ahmad Shah, Sabtu lalu malah ketinggalan dengan jaringan pendahuluan Baihakki Khaizan pada minit ke-33, tetap gagah meraih tiga mata menerusi jaringan penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohammed Ghaddar (45 dan 79).

Sebaliknya momentum kemenangan di Bukit Jalil, tiga hari lalu pula yang gagal diteruskan oleh juara baru Piala Sultan Ahmad Shah dan Piala Malaysia 2011, Negeri Sembilan apabila diikat Selangor 2-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban.

Sekalipun penyerang importnya dari Cameroon, Jean-Emmanuel Effa Owona cuba meletakkan tuan rumah di depan dua kali pada minit keempat dan 34, Merah Kuning sempat bangkit mengejar dan mencuri satu mata menerusi Amirulhadi Zainal dan Safiq Rahim pada minit ke-66 dan 73.

Namun teraju awal Liga Super lebih pantas disambar oleh T-Team yang membenam Kedah 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu hasil jaringan Mohd. Faiz Subri, minit ke-12 dan 29 serta Zairo Anuar Zalani, minit ke-33.

Sarawak yang baru dinaikkan ke Liga Super musim ini, mengekori di tangga kedua malah berkongsi tempat itu dengan Felda United apabila masing-masing menumpaskan Kuala Lumpur dan Sabah 2-0 di Stadium Negeri, Kuching dan Stadium Hang Jebat, Melaka.

Tandukan Ravindran Krishnan dan sepakan Hairol Mokhtar masing-masing pada minit ke-71 dan 79, menghadiahkan tiga mata Bujang Senang sementara jaringan Mohd. Raimi Mohd. Nor dan Yong Kuong Yong (26 dan 29) memastikan kemenangan buat 'Si Peneroka'.

Mohd. Raimi menyudahkan rembatan awal Farderin Kadir yang muntah daripada tangkapan penjaga gol Sabah sebelum si penjaring pula mencipta ruang buat Kuong Yong menanduk masuk gol kedua tuan rumah.

Di Stadium Perak, Ipoh, sentuhan pemain import turut menjulang Perak hasil jaringan tunggal daripada sepakan kencang kaki kanan Mithal Kubala pada minit ke-75 sejauh 25 meter sekali gus menewaskan juara Piala FA 2011, Terengganu.

Penampilan sulung juara Liga Perdana 2011, PKNS dalam Liga Super musim ini pula ditandai dengan sentuhan kecundang 1-2 kepada pelawat dari selatan semenanjung yang dikendalikan jurulatih baru K. Devan, Johor FC di Stadium Petaling Jaya.

Ditulis oleh : Wartawan Utusan
Sumber : Utusan Online - Sukan

No comments:

Post a Comment