Pages

Tuesday, January 10, 2012

Hukum Kritikan - FAM.





"Jangan Main Api"


TINDAKAN sesetengah persatuan negeri dan kelab menyalahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mungkin mengundang padah dengan tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap mereka.

Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan tindakan terbabit bukannya mahu menghukum namun apabila sudah berada pada satu tahap, ia perlu diambil tindakan.

“Perkara ini sudah menjadi kebiasaan dan perlu dihentikan. Saya menyeru kepada semua pihak jika ada yang membuat kesalahan mereka perlu mengaku untuk kebaikan masa depan dan bukannya menyalahkan FAM apabila timbul masalah.

“Kita bukan saja mengharapkan satu permainan yang bagus di padang namun pengurusan juga perlu lebih cekap dan komited pada zaman ini. Namun perkara ini bukan membabitkan semua persatuan negeri atau kelab, cuma segelintir saja,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kekalutan pendaftaran membabitkan pemain import Terengganu sehingga menimbulkan rasa kurang senang Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh yang menggesa Hamidin memohon maaf.

“Mereka seharusnya memahami dengan jelas dan secara keseluruhan berhubung kandungan surat terbabit termasuk lampiran. “Seandainya masih belum memahaminya, kami (JKPT) sedia untuk memberikan penjelasan sekiranya diminta. “Surat yang dikeluarkan jelas dan tiada sebarang lanjutan tarikh diberikan kepada Terengganu untuk mendaftarkan pemain import.

“Malah Setiausaha PBSNT, Abdullah Salleh adalah ahli JKPT dan sepanjang kami bermesyuarat empat kali sejak November lalu tidak pernah dalam minit mesyuarat ada cadangan atau dibangkitkan mengenai lanjutan tarikh pendaftaran untuk pemain import Terengganu,” katanya.

Tarikh akhir pendaftaran pemain import ditetapkan pada 8 Disember lalu namun Che Mat dilapor membuat kenyataan FAM memberi kelonggaran untuk mereka mendaftarkan pemain import selewat-lewatnya semalam tapi ditolak badan induk bola sepak negara itu kerana tidak wujud sebarang keistimewaan yang diberikan.

Keputusan itu menyebabkan usaha Penyu untuk menggunakan khidmat Francis Forkey Doe (Liberia) dan Erison Da Silva Santos Carnieto (Brazil) tidak kesampaian namun pemain dari Zambia, Mohamadou Sumareh yang didaftarkan awal sebelum 8 Disember sudah mendapat kelulusan tapi pemain terbabit dikatakan sudah pulang ke negara asal.

“Saya menghormatinya sebagai ‘orang lama’ yang juga bekas Naib Presiden dan pengerusi JKPT namun saya kecewa apabila beliau menuduh saya celupar. Saya mahukan permohonan maaf Che Mat,” katanya.

Ditulis oleh : Azlan Muhammad Zain
Sumber : myMetro Online - Arena

No comments:

Post a Comment