Pages

Tuesday, January 10, 2012

Gelanggang Lions XII Dapat "Pra Lulus."





Stadium Jalan Besar, Singapore.


SHAH ALAM - Bukan satu lagi keistimewaan bahkan tidak menyalahi langsung peraturan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) jika Stadium Jalan Besar, Singapura diperiksa lebih lewat berbanding semua gelanggang tempatan yang begitu ketat disyaratkan.

Dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sudah pun meluluskannya bagi melangsungkan Kelayakan Piala Dunia 2014, maka ia sudah dikira memadai buat jawatankuasa ini membenarkan Lions XII melayani Kelantan dalam Liga Super 2012, malam ini tanpa pemeriksaannya terlebih dulu.

Ia 'halal' di mata pengerusi jawatankuasa ini, Datuk Hamidin Mohd. Amin walaupun tegasnya, satu pemeriksaan rutin pihaknya tetap akan dijalankan bersempena sesi kunjungan pegawai kanan FAM bagi mendengar taklimat khas Liga Singapura di republik itu, minggu depan.

"Tiada masalah untuk memeriksa stadium itu lewat sedikit (biarpun selepas Lions XII melayani Kelantan dalam Liga Super, malam ini) dan tidak timbul (soal main dulu, baru periksa) buat pasukan Singapura kerana FIFA sudah mengiktirafnya (stadium yang memiliki padang tiruan itu)," katanya.

Mengenai kunjungan ke seberang Tambak Johor itu, kata Naib Presiden FAM ini, jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee akan turut dibawa sebagai anggota rombongan pegawai kanan persatuan bagi mendengar secara terus taklimat khas Liga S 2012 oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

Taklimat itu mampu menjadi sumber makluman paling tepat dan membantu persediaan awal Kim Swee dan skuad bawah 23 tahun negara yang akan ke Liga S pada hujung bulan depan kerana bertukar dengan Lions XII yang menyertai Liga Malaysia mulai musim 2012 hingga 2015.

"Dalam sehari dua lagi mungkin saya dapat tahu tarikh taklimat khas Liga S itu. Sepatutnya kami ke sana minggu lalu tetapi ramai pegawainya masih bercuti. Kim Swee juga akan menyertai kunjungan ini," katanya pada sidang akhbar pengenalan pasukan Selangor di Padang SUK, semalam.

Ditulis oleh : Abdul Hafiz Ahmad
Sumber : Utusan Online - Sukan

No comments:

Post a Comment