Pages

Monday, September 10, 2012

Peminat Mahu Hai-O Kembali Wakili Terengganu.




Hairuddin Omar aka Hai-O.


KEINGINAN ketua pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Hairuddin Omar atau lebih mesra dengan panggilan Hai-O untuk kembali menyarung jersi Terengganu tahun depan disambut baik peminat bola sepak di negeri itu.
   
Beberapa peminat bola sepak Terengganu ketika ditemui Bernama rata-rata melahirkan rasa syukur dan teruja sekiranya pemain berusia 33 tahun yang berasal dari Setiu, Terengganu itu kembali ke pangkuan negeri kelahirannya.
   
Seorang nelayan Ramli Embong, 45, dari Kampung Seberang Takir di sini berkata, kepulangan pemain yang boleh bermain di posisi tengah atau penyerang itu tepat pada masanya ketika pasukan bola sepak Terengganu kini berada dalam keadaan terumbang-ambing.
   
"Kita perlukan pemain seperti Hai-O yang boleh merancang dan sekali gus boleh menjaringkan gol," katanya.
   
Semalam, media melaporkan Hairuddin menyuarakan hasratnya untuk kembali bersama skuad Penyu selepas lebih 10 tahun menyarung jersi beberapa pasukan antaranya Pahang, Negeri Sembilan dan Kelantan.
  
Hairuddin pernah membantu Terengganu menjuarai Piala Malaysia pada 2001, Kelantan pada 2010 dan membantu Negeri Sembilan merangkul piala itu dua kali pada 2009 dan 2011. Seorang lagi peminat, Abdullah Jusoh, 30, seorang pekerja swasta melahirkan keyakinan Terengganu akan kembali mantap sekiranya Hairuddin berada dalam pasukan itu.
   
Beliau berkata, Hairuddin merupakan pemain hebat dan ini dibuktikan ketika Hairuddin menyertai Negeri Sembilan dan Kelantan di mana kedua-dua negeri itu menjuarai Piala Malaysia. Peminat wanita, Maimon Mahmud, 28, juga mengalu-alukan kepulangan Hairuddin dan berkata kepulangan pemain itu dinanti-nantikan peminat Terengganu.
   
"Kita harap pengurusan PBSNT menerima Hairuddin demi untuk mengembalikan maruah bola sepak negeri ini," katanya. - Bernama

Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment