Pages

Tuesday, December 13, 2011

ATM Idam Liga Super 2013.





Angkatan Tentera Malaysia.


DUA pemain import Angkatan Tentera (ATM) yang akan beraksi pada saingan Liga Perdana 2012 berazam memberikan sepenuh tenaga untuk membantu pasukan ke Liga Super musim 2013. Marlon Alex James, 35 dari St Vincent dan Bruno Sebastian Martelotto, 29 dari Argentina bukan asing dalam bola Liga M.

James pernah bermain untuk Kedah dan membantu pasukan itu muncul juara Piala Malaysia pada 2007 dan Martelotto pula mewakili Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ), kelab pertama bergelar juara pada 2003. Kedua-duanya berkata, pengalaman itu akan digunakan untuk membantu ATM muncul juara dan sekali gus layak ke Liga Super.

Mereka berkata demikian pada sidang media di Putrajaya di samping pelancaran laman web pasukan. Kedua-dua pemain import itu antara 26 pemain yang disenaraikan ATM untuk musim 2012 dan diperkenal Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang mahu menebus kehampaan ATM musim 2010 dan 2011 turut mengumumkan senarai pemain, termasuk lapan bintang Liga Super musim 2011 seperti Aidil Zafuan Radzak dan adik kembarnya, Zaquan Adha Radzak, Hairuddin Omar, Irwan Fadzli Idrus, Farizul Harun (Negeri Sembilan) Azmi Muslim dari Kedah, Rezal Zambery Yahya (Johor FC) dan Danial Fazly Abdullah (Kelantan) yang akan memikul cabaran pasukan.

Selain itu lima muka baru, penjaring terbanyak Liga Perdana 2011, Fitri Omar dari MP Muar, Christee Jayaseelan (PKNS), A Varathan (Sime Darby) serta dua pemain negara pada Sukan Universiti Dunia 2011 di Shenzen, K Reuben (UKM) dan Amiridzwan Taj Tajudin (UiTM) turut tersenarai. Hanya tiga pemain dari musim 2011, Rosaiful Nizam Omar, Hardy Cherls Parsi dan Yusaini Hafiz Che Saad dikekalkan.

ATM turut mengekalkan lapan pemain dari kalangan anggota tentera antaranya Suhaimi Ishak, Nazri Akui Venice Elphi Danny Kaya, Mohamad Alif Mohd Daud, Muhamad Aizuddin Ismail, Mohamad Hafizuddin Azuhar, Abdul Rashid Mahmud dan Mohamad Rahmad Ahmad. Ahmad Zahid berkata, beliau tidak sesekali berputus asa menghasilkan sebuah skuad mantap untuk merealisasikan misi layak ke saingan Liga Super.

“Berdasarkan kehadiran pemain dari Liga Super dan dua pemain import berpengalaman, saya yakin ATM mampu menduduki dua tangga teratas Liga Perdana 2012 dan layak ke Liga Super 2013,” katanya. Sementara itu, jurulatih, B Sathianatan yakin dengan barisan dimilikinya untuk memastikan pasukan benar-benar menggegar.

“Kita akan terbang ka Myanmar esok (hari ini) untuk tiga aksi persahabatan dengan kelab di sana dalam usaha membentuk pasukan mantap dan balik ke negara ini pada 22 Disember,” katanya. Selepas itu pasukan akan mengadakan perlawanan dengan pasukan dari Seberang Tambak Johor, pasukan Lions XII.

Ditulis oleh : Mohd Ali Majid
Sumber : myMetro Online - Arena Sukan

No comments:

Post a Comment