Pages

Sunday, December 18, 2011

Senjata Baru K. Devan.




Pemain import dari Brazil.


KELAB paling lama bertahan dalam liga utama Malaysia, Johor FC mensasarkan untuk sekurang-kurangnya melangkah ke pusingan separuh akhir dalam semua pertandingan disertainya, musim depan.

Hasrat itu bukan sekadar omong kosong kerana pengendalinya, K Devan mempunyai ramuan istimewa untuk membentuk pasukan mantap, walaupun Johor FC kini dibarisi ramai muka baru.

Katanya, untuk saingan Liga Malaysia musim depan, pasukannya menyandarkan harapan dibahu dua gandingan pemain import dari Brazil, Tiago Lima Leol (23) dan Tito Fernando Da Silva Pinto (22).

“Tito bermain di posisi tengah, manakala Tiago pula merupakan pemain penyerang. Ini adalah pemain terbaik yang kami pilih sebelum tempoh pendaftaran pemain import yang berakhir 8 Disember lalu.

“Saya akui Tito dan Tiago masih belum menemui rentak, namun saya percaya masanya akan tiba buat mereka menyinar bersama Johor FC,” katanya yang menyerahkan keputusan di tangan pihak pengurusan kelab jika pemain berkenaan tidak mempamerkan prestasi diharapkan menjelang pendafta­ran kedua pemain import, April tahun hadapan.

Dalam perkembangan lain, Devan memaklumkan Johor FC akan mengadakan enam siri perlawanan persahabatan termasuk menentang bekas majikannya, Selangor pada 23 Disember ini.

“Saya harap dalam enam siri perlawanan persahabatan ini, pemain dapat mencari kesera­sian supaya matlamat kita menamatkan saingan Liga Super di kelompok empat pasukan terbaik tercapai,” katanya.

Sementara itu, ketika me­ngulas undian Piala FA menentang juara Piala Malaysia 2011 Negeri Sembilan, Devan lebih selesa meletakkan pasukannya sebagai underdog. “Kelebihan lebih terarah kepada Negeri Sembilan, namun kami mahu menang apa yang penting pasukan perlu bekerja keras,” katanya.

Ulasan penulis : Seperti ramai telah ketahui, Johor FC merupakan satu kelab bolasepak yang boleh dikatakan berjaya, apakan tidaknya sentiasa menduduki pertengahan carta Liga Super setiap tahun. Walaupun bertaraf kelab, namun pencapaian pasukan ini boleh dikatakan sungguh membanggakan. 

Walaupun dilabel sebagai pasukan "underdog," pasukan ini mampu mengejutkan gergasi - gergasi bolasepak di Malaysia. Diharap pasukan Johor FC yang dibawah kendalian bekas jurulatih Selangor dapat mempamerkan prestasi yang mantap sekaligus menjadi pencabar utama kepada gergasi - gergasi bolaepak Malaysia.

Ulasan artikel : Nick Hafiz
Artikel oleh : Shahrizal Ahmad Zaini
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

No comments:

Post a Comment