Pages

Wednesday, December 7, 2011

Singapore Young Lions Bahaya.





Kesebelasan sebenar Singapore Young Lions.


KEHADIRAN pasukan Young Lions dalam kancah Liga M musim depan bukan lagi sekadar pendedahan sebaliknya bakal memberi ancaman kepada pasukan tempatan dalam merebut kejuaraan apabila Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) membariskan 10 pemain berusia lebih 23 tahun termasuk kapten skuad senior, Shahril Ishak.

Selain Shahril yang sudah berusia 27 tahun, skuad 28 pemain yang dipanggil Lions XII itu turut mempertaruhkan penyerang naturalisasi dari Nigeria, Agu Casmir, Jumaat Jantan dan Sevki Shaban (27), Khairul Amri (26), Shaiful Esah, Isa Halim, Hyrulnizam Jumaat (25), Taufiq Rahmat dan Suffian Anuar (24).

FAS juga memilih bekas penyerang kebangsaan yang pernah mengukir nama dalam kancah bola sepak tanah air V Sundramoorthy untuk mengendalikan skuad itu bagi bersaing dalam Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad, pihaknya bertolak ansur dengan membenarkan Singapura menyenaraikan pemain berusia lebih 23 tahun memandangkan pasukan jiran itu tidak mempunyai pemain muda yang mencukupi.

“Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM membenarkan perkara ini untuk musim 2012 saja kerana beberapa pemain muda mereka terbabit dalam program khidmat negara yang menjadi undang-undang wajib kerajaan Singapura.

“Hubungan kerjasama ini adalah untuk pembangunan skuad pelapis antara Harimau Muda A yang akan beraksi di Liga Singapura dan Young Lions dan kita tidak mahu ia menjejaskan program ini,” katanya selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara FAM dan Sanofi semalam.

Pada perjanjian awal antara FAM dan FAS Julai lalu, kedua-dua badan induk itu bersetuju membenarkan Harimau Muda A yang dibimbing jurulatih Ong Kim Swee bertanding dalam Liga Singapura, Piala Singapura dan Piala FA manakala Young Lions beraksi dalam tiga kejuaraan utama Liga-M.

Kata sepakat ini bakal membuka lembaran baru buat Singapura yang mempunyai tradisi tersendiri dalam kancah bola sepak tanah air apabila muncul juara Piala Malaysia 24 kali dengan kali terakhir tampil pada 1994.

Biarpun FAS membuat sedikit perubahan ke atas pasukan mudanya itu, FAM pula tetap dengan polisi asal dengan menghantar skuad Harimau Muda A berusia bawah 22 untuk menimba pengalaman beraksi dalam Liga-S.

Ditulis oleh : Aziman Rosdi
Sumber : myMetro Online - Arena Sukan

No comments:

Post a Comment