Pages

Wednesday, December 21, 2011

Harimau Cemerlang Di Australia.





Thamil, Fakri & Gurusamy turut catat nama sebagai penjaring.


ADA kelas! Itulah jawapan terbaik boleh dirumuskan mengenai skuad Olimpik negara yang baru menamatkan misi pertapaan di bumi Australia semalam sejak ‘berguru’ pada 10 Disember lalu.

Kunjungan skuad pimpinan Ong Kim Swee ke benua Oceania itu bukan sekadar bersifat makan angin semata-mata, tetapi sebagai persediaan mengharungi baki tiga perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik London 2012.

Dalam tiga siri pertemuan menentang kelab Liga A-Australia, Harimau Muda berjaya merakam dua kemenangan. Kemenangan pertama menga­tasi Sydney FC 3-0 sebelum tewas tipis 1-0 kepada Central South Mariners.

Tetapi, anak didik Kim Swee pantas menebus kekalahan itu dengan membelasah Central South Mariners 4-1 pada aksi ulangan kedua beriku-tan perlawanan menentang Newcastle Jets yang dibatalkan.

Siri latihan di sana juga menampakkan kesan positif apabila satu lagi bakat baru berjaya ‘dihasilkan’ dan bakal menyemarakkan lagi kancah liga bola sepak tanahair. Siapa lagi kalau bukan penyerang Kuala Lumpur kelahiran Labuan, Ahmad Hazwan Bakri yang muncul sebagai penjaring terbanyak, apabila meledak empat jaringan di Sydney.

Baru dipanggil Kim Swee untuk menjalani latihan bagi menyertai misi ke Australia pada 5 Disember lalu, Hazwan tidak menunggu lama dengan debut pertamanya pada 13 Disember sewaktu bertemu Sydney FC.

Kepercayaan diterimanya itu dibalas dengan begitu sempurna selepas membantu Harimau Muda menang 3-0 termasuk sempat menyumbang dua gol untuk pasukan negara. Penghormatan juga wajar diberikan kepada K Gurusamy, A Thamil Arasu dan Ahmad Fakri Saarani dengan mencatat nama sebagai senarai penjaring.

Kini, mereka bakal kembali ke tanahair hari ini, sebelum menempuh saingan baru Liga Singapura yang dijadual bermula tahun depan, sambil mengibar cabaran sebagai pasukan tunggal dari Asia Tenggara beraksi pada kelayakan Olimpik.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik ialah pada 1980 di Moscow, Rusia, tetapi kerajaan Malaysia memboikot temasya itu kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan. Sebelum itu, Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman.

Ulasan penulis : Penyerang Harimau Muda, Ahmad Fakri Sarani sudah mula menunjukkan peningkatan dalam permainan beliau apabila telah menyumbangkan 2 gol dalam 3 perlawanan persahabatan menentang Kelab Australia. 

Walaupun pencapaian itu tidak boleh dijadikan kayu ukuran untuk menilai prestasi beliau, sekurang - sekurangnya pencapaian ini boleh menaikkan semangat beliau untuk terus mempamerkan prestasi yang cemerlang dalam perlawanan yang akan datang.

Ulasan artikel : Nick Hafiz
Artikel oleh : Mohd Fahmi Ismail
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Harimau Malaya

No comments:

Post a Comment